facebook

Sabtu, 25 Mac 2023

MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta tradisi kampung yang kaya di negara ini.

Jelajah MalayaTube  menjejak masjid lama pada kali ini membawa saya ke perkampungan kecil iaitu Kampung Pelangai di Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk menziarah sebuah masjid lama yang diberi nama Masjid Lama Pelangai yang telah berusia 113 tahun. . 



Asal-usul nama Pelangai itu sendiri mempunyai sejarah cerita yang menarik. Ia mempunyai dua versi cerita asal usul bagaimana ia mendapat nama Pelangai. 

Pada zaman dahulu iaitu ketika pemerintahan YamTuan AlMarhum Tuanku Muhammad Shah Ibni Almarhum Tuanku Antah( 1888-1933) , baginda serta Tuanku Permaisuri pernah menjelajah ke kawasan kampung ini dengan menaiki kereta kuda dari Seri Menanti hingga ke kampung ini. 




Baginda Al Marhum adalah seorang Raja yang sangat berjiwa rakyat dan baik hati. Baginda sangat suka menziarah rakyat jelata dan salah satu tempat yang sering dikunjungi oleh Baginda ketika itu adalah tempat keramaian(tempat berniaga penduduk desa) yang terletak di kawasan lapang yang berhadapan dengan Sek. Keb Pelangai yang dibina pada tahun 1907. 

Suatu hari, selendang kepunyaan Tuanku Permaisuri jatuh ke tanah dan selendang yang jatuh itu diambil oleh hamba rakyat dan diserah kembali kepada Almarhum Tuanku. Tuanku bertitah bahawa kain selendang itu namanya adalah Pelangai. Sejak itu, nama tempat itu disebut sebagai Pelangai dan kekal hingga ke hari ini. 

Versi cerita kedua, tempat ini pada zaman dahulunya dikatakan sering ditumbuhi atau dikunjungi oleh pelangi hingga ia mnejadi satu gelaran kepada tempat ini dan kekal kepada Pelangai hingga kini, wallahua'lam. 

Kebanyakan tempat atau perkampungan pada zaman dahulu diberi nama berpandukan kepada peristiwa penting dan bersejarah yang berlaku di tempat tersebut. Pasti nama-nama sesebuah tempat itu mempunyai kisah-kisah yang menarik samaada suka, duka atau menyayat hati. 

Berbalik kepada cerita masjid tadi, masjid ini dibangun pada tahun 1910 dan menjadi salah satu masjid tertua di daerah ini. Masjid ini didirikan hasil usaha gotong royong penduduk setempat dan diawasi oleh seorang imam. 

Lebai Maadah Bin Layang merangkap imam besar masjid adalah seorang ulama yang terkenal di zaman itu. Beliau merupakan ulama tersohor yang juga mengajar kerabat diraja di Istana . Lebai Maadah juga merupakan tokoh pertama yang menubuhkan sekolah agama atau madrasah berasrama secara formal dan sistematik. Mata pelajaran yang diajar oleh madrasahnya merangkumi semua lapangan pengajian agama seperti Usulludin, Tasawuf, Bahasa Arab termasuk Bahasa Inggeris , pidato sejarah tanahair dan dunia sebagai subjek tambahan. 

Madrasahnya yang kekal hingga hari ini yang terletak di sebelah Masjid Kariah Pelangai merupakan madrasah untuk semua anak-anak Melayu tidak kira lelaki atau perempuan. Dikatakan Shamsiah Fakeh, yang dikenali sebagai ' Ratu Rimba Malaya' iaitu pejuang merdeka Tanah Melayu (1924-2008) juga menuntut ilmu di madrasah ini. 

Pembukaan masjid ini bersamaan pembukaan  keretapi Kuala Pilah-Bahau pada 4 April 1910. Ini menunjukkan Kampung Pelangai ini adalah sebuah tempat yang penting yang wujud seiring dengan arus pembangunan.  

Masjid Lama Kampung Pelangai memiliki senibina yang sederhana dengan atap berbentuk segitiga dan dinding dibuat dari kayu. Masjid ini memiliki satu ruang utama untuk solat dan sebuah mimbar. Di sekitar hadapan masjid terdapat  makam-makam tua yang menjadi tempat peristirehatan terakhir bagi penduduk kampung.




Seiring dengan bertambahnya usia, mana-mana masjid lama memerlukan perawatan yang lebih intensif untuk menjaga kelestariannya. Namun, karena  minimumnya usaha perawatan dan baikpulih, kondisi masjid ini mulai memburuk. 

Kerajaan setempat juga telah membangunkan sebuah masjid yang baru di lokasi yang lebih strategik dan aman, namun penduduk setempat masih mengekalkan Masjid Lama Kampung Pelangai sebagai sebahagian dari sejarah dan tradisi mereka. 



Tetapi disebabkan kurangnya tenaga mahir dan juga kos membaik pulih yang tinggi, masjid ini dibiar sepi tanpa diimarahkan hingga akhirnya menunggu masa  untuk rebah. 

Didoakan semoga ada mana-mana pihak yang tampil untuk memberi kerjasama dalam memulihkan semula Masjid Lama Kampung Pelangai ini bagi mengekalkan warisan bangsa dan agama.

















MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...