facebook

Rabu, 14 September 2022

MASJID KAMPUNG TERSAN, RAUB PAHANG, KAMPUNG YG DIBUKA OLEH KETURUNAN LAKSAMANA HANG TUAH 1680M

Dalam perjalanan saya ke Kota Bharu, saya ternampak sebuah masjid kayu menghala ke Kuala Lipis betul-betul di belakang papan tanda Kampung Tersan.  Disebabkan saya amat suka mengkaji tentang masjid-masjid lama maka saya pun mengambil keputusan untuk memusing kereta semula. Masjid tersebut adalah Masjid Kampung Tersan  terletak di Mukim Sega, daerah Raub, Pahang. Ia terletak di laluan jalan utama ke Kota Bharu-Gua Musang. 
Masjid Tersan 2022

Bertemunya Kampung Tersan

Pada awal bulan August 2022  yang lalu, saya pulang ke Kota Bharu bersama anak sedara menaiki kereta kerana menemannya yang yang perlu hadir ke hospital di sana. Perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui Raub-Kuala Lipis-Merapoh-Gua Musang-KB. Seperti biasa anak sedara saya dah faham sangat perangai mak sedaranya yang sangat suka menjejak sejarah, bangunan dan rumah lama serta masjid-masjid lama. Saya mesti akan membuat pit stop di mana-mana tempat yang saya lihat mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Kira impromtu pit stop la. Anak sedara juga meminati sejarah, jadi lagilah seronok perjalanan kami ini. 

Saya juga adalah keturunan separuh Johor separuh Kelantan dari mak. Jadi balik ke Kota Bharu adalah seperti balik ke kampung sendiri walau mek(nenek) saya telah meninggal dunia. Tapi makcik makcik masih ada di Kota Bharu dan saya dari lahir di bela oleh mek di Kota Bharu, jadi saya agak rapat dengan makcik-makcik saya.

Setelah mengambil gambar  bangunan lama di Pekan Raub, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dan tiba-tiba saya ternampak sebuah masjid kayu seakan masjid lama di sebelah kanan. Saya pusing semula dan terus ke arah masjid. Walaupun kelihatan sederhana berbanding dengan masjid lama lain yang ada seni ukiran, pasak dan tanggam tetapi saya tertarik dengan bumbung dan dinding kayunya. Masjid ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Bak kata pepatah, Jauhari sahaja yang mengenal manikam...cewah hehehe.

Dalam pemikiran saya mesti ia sebuah masjid lama  zaman dahulu-kala. Ketika itu tidak ada jemaah di masjid memandangkan belum lagi masuk waktu Zohor.

Masjid Tersan 1942, kredit Tn Hasanuddin Mat Isa

Saya  mengambil gambar dan membaca batu penanda perasmian masjid. Tertulis Masjid Tersan ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muazzam Syah pada hari Khamis 26 Safar 1415 bersamaan 4 Ogos 1994. 

Aik, 1994? Firasat dalam hati kata, tak mungkin. Mesti  masjid ni lagi lama dari itu. I don't believe it. There's something about this masjid yang menguatkan firasat saya mengatakan ia adalah masjid tua. 
 




Kemudian  saya lihat ada kawasan perkuburan di sebelah masjid, terus saya melangkah ke sana. Walau tidak memasuki ke kawasan perkuburan, tapi saya berdiri di tepi pagar sambil memerhati nisan-nisan di kawasan kubur tersebut hinggalah saya ternampak satu batu nisan di bawah pokok yang lain dari yang lain. Kelihatan batu nisan tersebut sepertinya batu nisan di zaman lama. Sah!! Kan betul kata saya. Memang masjid ni mesti masjid pada zaman dahulu sekurang-kurangnya awal kurun ke 19 dalam pemikiran saya. 

Tidak lama kemudian jemaah mula datang kerana waktu menghampiri waktu Zohor. Saya sempat bertanya kepada jemaah masjid tetapi pakcik tersebut tidak berapa tahu sejarah masjid ini tapi katanya memang masjid lama. Setelah itu saya meneruskan perjalanan yang masih jauh. 

Lalu saya buat research sendiri,baca beberapa blog dan fb' akhirnya memang betul kampung ini tidak kurang hebat sejarahnya dan ia dibuka oleh seorang ulama Islam pada zaman dahulu dari keturunan Hang Tuah.  

Ruang solat Masjid Tersan 2022

Salasilah Keturunan Tok Imam Mat Amin Bin Tok Malik 

Kampung Tersan dibuka oleh Tok Imam Mat Amin sekitar tahun 1680M. Nama penuh beliau adalah  Tok Imam Mat Amin Bin Tok Malik Bin Ngah Endik Bin Muhamad Ali Jaafar Bin Raja Muhamad (Baginda Demu)

Baginda Demu atau Raja Muhammad merupakan seorang pembesar di negeri Perak, cucu Laksamana Hang Tuah.   Ayahanda Baginda Demu iaitu Raja Mahmud atau dikenali juga sebagai Raja Yusof atau Raja Bongsu berkahwin dengan salah seorang anak Laksamana Hang Tuah, Sri Dewi atau Halimah. 

Baginda Demu dikatakan datang berhijrah ke Hulu Pahang mengikut jejak langkah bapa saudaranya Hang Semaun yang telah terlebih dahulu membuka kawasan-kawasan lain sekitar Kuala Lipis. Bapa saudaranya kemudiannya dilantik oleh Pemerintah Pahang sebagai Orang Kaya Lipis Pertama.  
Baginda Demu pula telah membuka penempatan pertama di Lubok Yong, Kuala Lipis, kemudian mudik ke hulu dan membuka Kampung Pagar, Penjom Kuala Lipis pula.

Rumah atas sampan di Sungai Pahang Kuala Lipis 1890

 
Sejarah disebalik nama Kampung Tersan

Tok Mat Amin dan anak buahnya menyusur mudik Sungai Lipis dari Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Pahang. Beliau berhenti di suatu tanah pamah sebelah kiri mudik yang penuh ditumbuhi oleh perdu buluh aur, lalu membuka kampung di situ dan dinamakan Kampung Tanjung Aur

Ke arah daratan Sungai Lipis yang ditumbuhi buloh aur itu didapati pamah dan lembah, amat sesuai dijadikan sawah atau paya padi. Lalu Tok Mat Amin bersama-sama dengan anak buahnya membersihkan kawasan itu untuk dijadikan kawasan sawah padi. 

Terdapat tanah masin yang digelar jenud iaitu tempat binatang datang menjilat di situ. Tanah masin tersebut boleh menyuburkan semua jenis tanaman termasuk padi. Ke darat lagi, terdapat dua alur air yang kemudiannya dinamakan Sungai Buloh dan Sungai Ketiar. 

Kedua-dua alur itu disatukan menjadi parit besar seperti terusan terus ke Sungai Lipis. Terusan itulah yang membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah kampung lagi yang dinamakan Kampung Tersan

Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, Tersan bermaksud dalam. Jadi ia mungkin sebuah terusan yang dalam. 

                                                                                             Kredit sejarah Kg Tersan : Tn Hasanuddin Mat Isa, blog piathangtuah
                                                                                                                                                                         
Pada pendapat saya, Masjid Kampung Tersan ini sebenarnya telah wujud sejak sekian lama lagi.
Atau mungkin juga masjid ini dahulu terletak di tempat lain.   Mungkin sejak zaman dahulu ketika Tok Mat Amin masih lagi hidup kerana beliau juga adalah seorang imam, penghulu dan juga pawang. 

Cuma pastinya bangunan masjid yang asal telah dirobohkan serta diganti dari masa ke semasa mengikut peredaran zaman  kerana masjid pada zaman dahulu selalunya dibina daripada batang pinang, kayu dan beratap rumbia atau nipah. 
Jadi tapak masjid ini kemungkinan besar adalah tapak masjid sejak tahun 1680M setelah pembukaan Kampung Tersan ini .  ( Mungkin orang Kampung Tersan boleh membetulkan pandangan saya ini jika salah dan saya memohon maaf )

Orang dahulu amat mengambil berat tempat beribadat. Masjid adalah salah satu binaan yang paling penting yang akan dibina pada satu-satu penempatan awal pada zaman dahulu. Lagi pula Tok Mat Amin adalah seorang imam dan penghulu, maka masjid sudah tentunya mesti ada.

Di sebelah masjid ini juga terletaknya kubur Tok Mat Amin di atas bukit . Dikatakan orang ramai selalu pergi menziarah kuburnya kerana dia adalah seorang ulama Islam yang masyur dan dihormati pada zaman dahulu. Sayangnya saya tidak sempat untuk menziarah ke kubur beliau kerana kesuntukan waktu.

Disclaimer : 
Saya memohon maaf kepada penduduk Kampung Tersan jika ada kesalahan informasi dan andaian yang salah. Ia adalah berdasarkan pandangan saya semata-mata. 





       
            






 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...