facebook

Isnin, 26 September 2022

MANUSKRIP MELAYU LAMA

 Manuskrip Melayu merupakan lambang kebijaksanaan para cendekiawan Melayu zaman dahulu. Kegiatan penulisan dan penghasilan manuskrip dalam pelbagai subjek bagi mewariskan ilmu dan pengetahuan mereka mengenai sesuatu perkara kepada generasi Melayu yang seterusnya. 

Antara bidang penulisan manuskrip Melayu yang sering diketengahkan ialah bidang keagamaan yang terdiri daripada ilmu tajwid, fekah, tasauf, akhlak dan sejarah manakala dalam bidang tradisi Melayu tempatan seperti hikayat, budaya dan perubatan. 

Manuskrip adalah nama yang diberikan kepada naskhah penulisan yang bertulis tangan. Manakala tulisan yang digunakan adalah  jawi. Tulisan jawi ialah tulisan yang diadaptasi daripada huruf-huruf Arab sebanyak 30 huruf dan Parsi sebanyak lima huruf bagi membentuk perkataan bahasa Melayu. 

Buku manuskrip Melayu tulisan tangan berkaitan undang-undang Melaka yang
menggunakan sebahagian kertas dari China dan Eropah.


Pen

Bahan yang digunakan untuk menulis manuskrip Melayu ialah pen, dakwat, kulit kayu dan kertas. Pen yang digunakan oleh para penulis Melayu pada zaman dahulu diperbuat daripada batang pelepah pokok resam.  Pokok resam adalah sejenis pokok daripada keluarga paku pakis yang besar dan kebanyakkannya tumbuh di kawasan hutan terutamanya di kawasan sejuk seperti di kawasan tanah tinggi. Pelepah daun pokok  resam diambil dan dibersihkan sebelum dipotong mengikut saiz dan mata pen yang diperlukan oleh penulis. 

Bagi menghasilkan tulisan Jawi yang kemas, sudut potongan mata pen perlu dilakukan dengan berhati-hati supata tidak mudah pecah dan boleh digunakan untuk masa yang lama. 

Pokok Resam

Pen dari batang pokok resam

Dakwat

Selepas pen, bahan lain yang diperlukan ialah dakwat untuk menulis. Terdapat beberapa bahan yang digunakan sebagai dakwat seperti yang ditemui oleh para pengkaji manuskrip Melayu. Selalunya dakwat yang digunakan oleh penulis Melayu adalah hitam. 

Bahan-bahan untuk menghasilkan dakwat ini terdiri daripada bahan daripada sumber alam semula jadi yang berada dalam dengan kehidupan masyarakat Melayu seperti jelaga, arang, akar tumbuhan dan dari sumber alam yang lain.

Kitab lama ini mengandungi doa-doa dan azimat cara ilmu perubatan melayu kuno yang ditulis atas kulit kayu dengan menggunakan dakwat dari akar tumbuhan. 

Jelaga atau butiran-butiran halus seperti arang yang terjadi dari asap lampu minyak tanah yang digunakan pada zaman dahulu juga digunakan sebagai dakwat. Seorang Undang Johol telah menggunakan lampu minyak tanah dan mengasapi cap mohor beliau bagi menghasilkan jelaga sebelum mengecap dokumen rasmi dalam satu majlis pada tahun 1948. 

Kertas

Satu lagi bahan asas yang penting yang diperlukan untuk menulis adalah kertas. Kertas dalam alam penulisan manuskrip Melayu bukanlah kertas yang boleh didapati pada hari ni. Kertas di alam Melayu dipanggil deluang yang diperbuat daripada lapisan kulit pokok seperti mulberi yang diketuk leper selepas lapisan dalam kulit pokok tersebut direndam sehingga lembut. Menurut dari pembacaan saya, pokok mulberi yang digunakan untuk membuat kertas deluang ini tidak mempunyai buah tetapi  daun dan batangnya sama bentuk dan sifat.  Jadi Inshaa Allah saya akan cuba proses dan membuat kertas deluang ini menggunakan pokok mulberi yang ada pada zaman ini. 

Pokok Mulberry

Kertas ini mempunyai tekstur dan tahan lama. Selain daripada kertas deluang, bahan lain untuk menulis ialah seperti kayu, daun nipah dan daun lontar. Permukaan setiap bahan yang digunakan untuk menulis menggunakan dakwat dan pen perlulah licin dan tidak terlalu kesat kerana ia akan mengganggu penulisan dan tulisan yang dihasilkan tidak jelas dan sukar untuk dibaca. 

Selain dari kertas deluang, kertas yang diimport  dari negara luar terutamanya dari Barat seperti Belanda, Perancis dan England. Kertas-kertas import ini kebanyakannya ditanda dengan cap perniagaan tersendiri yang dikenali sebagai tera air. 


Proses Pembuatan Deluang

Untuk membuat deluang, batang pohon mulberi dikuliti , dicuci dan dikeringkan. Setelah kering,  batang tersebut direndam selama 24 jam. Kemudian batang tersebut dipukul dan dibolak balikkan sehingga lebarnya mencapai 2-3x lebar, lalu dicelupkan ke dalam air beberapa saat, dan diperah airnya.  Kemudian deluang dilipat untuk mendapatkan hasil yang lebih lebar. 

Deluang tersebut kemudiannya dibungkus di dalam daun pisang selama 5-8 hari sehingga ia berlendir. Keluarkan deluang tadi dan dijemurkan pada batang pisang. Batang pisang digunakan supaya kulit deluang tersebut memiliki tekstur yang licin. Kemudian deluang tersebut diikat dengan serat batang pisang agar ia tidah jatuh setelah ia menjadi kering. Setelah kering, deluang digosok dengan kulit kerang untuk mendapatkan tekstur halus pada permukaannya. 

Dari segi pembuatannya, deluang memiliki beberapa kelebihan berbanding kertas biasa. Deluang yang dibuat secara tradisional adalah lebih tahan lama kerana proses pembuatannya tanpa bahan kimia sintesis. 

Selain daripada digunakan untuk dijadikan kertas untuk manuskrip sejak ratusan tahun dulu, deluang juga digunakan untuk membuat pakaian terutamanya dipakai oleh ahli sufi. Bahan dari kertas deluang ini mampu bertahan hingga ratusan tahun dan ia terbukti dari buku-buku manuskrip Melayu lama yang masih kekal dan dapat kita lihat hingga ke hari ini. 

Kertas Deluang

Kitab Hikayat Hang Tuah koleksi peribadi arwah abah yang ditulis pada 
tahun 1908 dan pertama kali dicetak pada tahun 1949













           



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...