facebook

Rabu, 21 September 2022

MASJID OLAK SEPAM, PAGOH MUAR JOHOR 1931

 Ketika pulang ke kampung sempena cuti Hari Malaysia 2022, kali ini saya berazam menziarah masjid-masjid lama, rumah-rumah lama dan tempat bersejarah di Muar. Walau pun kampung saya di Muar        (sebelah ayah) saya belum pernah lagi menjejak tempat-tempat sejarah di Muar padahal Muar adalah salah satu tempat yang kaya dengan sejarah. 

Pada hari Sabtu,  saya bergerak ke Parit Bugis melihat rumah Keraton Mbah Anang untuk kali kedua kerana ingin mengajak mak dan abang saya sekeluarga melihat keunikan rumah Mbah walau saya telah pergi sendiri sehari sebelumnya.

Dari rumah Mbah Anang kami bergerak ke Pagoh. Disebabkan masa telah agak lewat, kami terus bergerak ke masjid tanpa sempat ke Masjid Jamek Kampung Raja, Galeri Bukit Kepong dan Makam Sultan Alauddin Riayat Syah I. 

Setibanya di Masjid Olak Sepam mengikut google map, ia bukanlah masjid lama yang ingin saya tuju tetapi ia adalah masjid baru Olak Sepam. Saya bertanya penduduk kampung dan mereka dengan baik hatinya membawa kami ke masjid tersebut. 

Masjid Olak Sepam Sept 2022

Sejarah Masjid 

Masjid ini telah dibina semula pada tahun  1931 di atas tapak masjid yang asal . Tidak dapat dipastikan sejak tahun bilakah tapak masjid yang asal telah wujud. Jika dikaji sejarah, Pagoh telah wujud sejak zaman Kesultanan Melaka lagi . Ia dikenali sebagai Kota Pagoh. 

Kedudukan masjid ini terletak betul-betul di pinggiran sungai Muar.  Kemungkinan besar masjid yang asal adalah sebuah masjid kayu yang telah musnah ditelan zaman dan juga kawasan tersebut sering dilanda banjir kerana kedudukannya yang berhadapan dengan sungai menyebabkan bencana alam sering melanda di kawasan ini.  



Pada  tahun 1961 iaitu 30 tahun kemudian,  ia telah dibesarkan dengan menggunakan batu bata dan dibina bumbung genting 'Marsille' menjadikan masjid ini mempunyai senibina dan keunikannya yang tersendiri iaitu kombinasi tempatan dan barat. 

Malangnya banjir besar 1971 yang berlaku di seluruh Malaysia kecuali 3 negeri di utara, turut menenggelamkan hingga ke ruang solat masjid ini. 

Gambar sebenar sewaktu kejadian banjir pada tahun 1971 di Balai Polis Bukit Kepong.
Koleksi gambar banjir seluruh Malaysia 1971 sewaktu ayahanda bertugas.

Oleh itu masjid yang baru telah dibina di kawasan yang lebih tinggi dan selamat tidak jauh dari masjid lama ini. Sejak itu masjid lama ini dibiarkan kosong dan usang hingga telah hampir musnah. 

Tetapi oleh kerana struktur binaan dan bentuknya yang unik  serta  sejarahnya yang tidak ternilai, atas usaha  penduduk kampung, Jabatan Muzium dan Antikuiti (JMA) telah melakukan kerja-kerja konservasi dengan mengekalkan bentuk asal masjid dan siap sepenuhnya pada 12 APRIL 2003 dan menjadikan ia warisan sejarah negeri Johor.  

Masjid ini telah dirasmikan oleh Y.B Dato Abd Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor pada 14 Syaaban 1424 bersamaan 14 Oktober 2003

Masjid Baru Kampung Olak Sepam 2022

Menurut penduduk kampung, walau Masjid Lama Olak Sepam tidak lagi digunakan oleh penduduk kampung untuk mengerjakan solat tetapi mereka masih tetap menjaga kebersihan dan kelestarian masjid ini. Menurut mereka juga, masjid ini masih lagi dikunjungi oleh kumpulan jemaah tabligh dua kali setahun sehingga kini bagi mengimarahkan masjid lama ini.  Sewaktu kunjungan saya pada minggu lepas, masjid ini kelihatannya terjaga dan bersih walau tidak digunakan lagi. 

Oleh kerana telah masuk waktu maghrib dari situ kami terus ke masjid baru Olak Sepam untuk menunaikan solat maghrib sebelum pulang ke rumah dan makan malam di Warong Olak Sepam. 



Kubah Masjid 
         
           
           Tingkap untuk pencahayaan dari ruang mihrab

           
Pandangan dari belakang masjid

           
Tangga besi untuk ke bumbung masjid
(Bagi sesiapa yang naik ke atas jangan lupa tutup semula pintu
atap ke bumbung bagi mengelakkan air masuk ke dalam ruang solat)

           
         Pintu masuk masjid di sebelah belakang 

          
            Bumbung masjid 

          
Kubah kecil




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...