facebook

Ahad, 4 September 2022

MASJID JIN 1905

 Masjid Lama Kampung Pancang Bedena atau lebih dikenali sebagai Masjid Jin adalah antara masjid yang tertua di negeri Selangor. Ia dibina pada tahun 1905 iaitu 117 tahun yang lalu. 

Masjid Jin 2022

Nama masjid ini diambil sempena nama kampung ini, iaitu Kampung Panchang Bedena mukim Panchang Bedena daerah Sungai Besar, Sabak Bernam Selangor. Sejarah nama Panchang Bedena ini pula di ambil sempena peristiwa penemuan sebuah bedena besar iaitu tempayan bekas menyimpan harta karun di dasar laut yang kemudiannya di pancang kayu oleh penduduk kampung sebagai tanda untuk memudahkan orang kampung membawanya ke darat. 

Pengasas Masjid

Masjid ini diasaskan oleh Tuan Haji Muhamad bin Haji Shafie menantu kepada Penghulu Haji Talib yang lebih dikenali sebagai Haji Taib Keramat iaitu orang pertama yang datang dan membuka kampung ini selepas Perang Selangor. Beliau merupakan Penghulu kampung pada waktu itu. Beliau memohon perkenan daripada Sultan Aleddin Sulaiman Shah serta penduduk kampung untuk mendirikan masjid di atas tanahnya seluas setengah ekar yang telah beliau wakafkan. 

Tukang yang bertanggungjawap terhadap pembinaan masjid ini ialah Encik Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Abdul Hamid Tukang yang berasal dari Kampung Sungai Keli, Sabak Bernam dan dibantu oleh Bilal Hashim dan Haji Muhamad Jawa dan turut dibantu oleh penduduk kampung berbangsa cina yang dikenali sebagai Ang Gun. 

Senibina Masjid 

Masjid ini pada asalnya dibina dengan menggunakan batang pinang sebagai lantai dan dinding. Manakala atapnya daripada daun rumbia. Hasil usaha penduduk kampung dan masyarakat setempat, masjid ini telah dibina semula pada tahun 1979 bagi menggantikan bangunan asal yang telah uzur dan musnah. 

Masjid ini diubahsuai dengan menggunakan kayu sepenuhnya dan beratapkan zink dengan menampilkan reka bentuk gabungan bumbung bertingkat dan bumbung limas yang dikenali sebagai bumbung limas bungkus yang menambahkan keunikan dan keindahan masjid ini. 

Reka bentuk masjid yang kelihatan seperti rumah kayu kampung menjadikan masjid ini sangat unik dan klasik . 

Misteri Masjid Jin 

Masjid ini juga menyimpan kisah-kisah aneh dan misteri yang tersendiri. Masjid ini bukan sahaja dikunjungi oleh penduduk kampung malah ia turut diimarahkan oleh golongan jin ketika waktu solat. Pelbagai kejadian aneh yang berlaku di masjid ini dan juga suara-suara aneh. Ikuti cerita-cerita aneh tersebut yang diceritakan sendiri oleh Tuan Imam Masjid iaitu Haji Yakob Bin Kamaruddin dalam temubual saya dengan beliau pada bulan August 2022 di channel Youtube saya di 
link : https://youtu.be/yuv0Ad0HHxs

Youtube channel : www.youtube.com/c/MasOutNAbout

Gelaran Masjid jin ini bermula apabila penduduk tempatan mendakwa ketika awal pembukaannya, kawasan masjid sentiasa kelihatan terang pada waktu malam seolah-olah ada orang yang sedang mengggunakan masjid. Alunan zikir dan bacaan al-Quran juga dikatakan sering kedengaran pada waktu malam dan subuh walaupun tiada penduduk kampung yang berada di masjid berkenaan. 

Kejadian jemaah yang tidur dalam masjid khususnya di kawasan mimbar, akan diangkat atau dialihkan ke tempat lain atau di tepi perigi adalah satu perkara biasa yang berlaku di masjid itu. Malah ada penduduk mendakwa pernah bertembung makhluk ghaib yang dipercayai jin ketika beribadat di situ.


 

Kolam air

Selain dari pengalaman serta kejadian yang agak aneh dan mistik yang berlaku di Masjid Jin ini, terdapat satu kolam yang digali di hadapan serambi masjid sebagai kemudahan jemaah masjid mengambil wudhu. Kolam air ini dikatakan tidak pernah kering walaupun sudah berusia lebih dari 100 tahun dan juga ketika musim kemarau. 

Air dari kolam air ini juga  dikatakan telah membantu dan merawat penyakit kulit dari beberapa pengunjung yang telah menggunakan air tersebut dengan izin ALLAH

Kolam ini telah digunakan sebagai sumber air oleh penduduk kampung sejak masjid ini dibuka terutamanya pada musim kemarau. Walau bagaimanapun kolam ini tidak lagi digunakan semenjak masjid ini disalurkan dengan kemudahan bekalan air paip. Namun begitu air di kolam tersebut tetap ada dan penuh. 

Orang orang tua kita dahulu ada menggunakan kaedah rawatan perubatan dengan menggunakan air yang diambil dari kolah masjid termasuk arwah ayah saya sendiri juga. Menurut kajian saintifik oleh Pakar scientist dari Jepun, satu kajian telah dilakukan terhadap molekul air yang telah dibacakan ayat-ayat suci dari Al-Quran dengan molekul air yang kosong dan air yang didedahkan dengan perkataan-perkataan yang tidak elok. 
Terdapat perubahan yang sangat cantik dan tersusun pada molekul air yang telah dibaca dengan ayat-ayat suci Al-Quran berbanding molekul air yang kosong. Subhan Allah, betapa hebatnya kuasa Allah.
Alhamdulillah 

Jadi pada pandangan peribadi saya , air kolam tersebut atau air kolah di mana-mana masjid dan surau yang terdedah setiap hari dan waktu dengan bunyi azan, zikir dan lantunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran mempunyai keberkatan dan khasiat-khasiat yang tertentu dengan izin Allah kerana ayat-ayat suci Al-Quran adalah juga bersifat syifa'. Wallahuallam. 

Solat Jumaat 

Pada hari ini, Masjid Jin tidak lagi digunakan untuk sembahyang Jumaat kerana masjid baru telah dibina yang terletak di jalan utama kampung ini. walaupun begitu masjid lama ini masih lagi diimarahkan oleh orang kampung terutamanya menunaikan solat lima waktu dan solat pada hari raya.  













Sumber : Tuan Haji Yakob Bin Kamaruddin, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Lama Panchang Bedena
(Masjid Jin) 





















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...