facebook

Isnin, 31 Oktober 2022

MASJID AL AMIN , KG KERAWANG 19OO an

 Masjid Al Amin Kampung Kerawang, Pulai Chondong adalah sebuah tapak masjid lama yang telah berusia lebih dari seratus tahun.  Pada asalnya ia adalah sebuah masjid kayu yang telah dibina oleh anak Tok Pulai Chondong yang ke empat iaitu Allahyarham Tuan Guru Haji Omar Bin Haji Abd Samad.

 Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1911 dan dikebumikan di perkuburan Mukim Kerawang yang terletak di sebelah masjid. Tidak dapat dipastikan bilakah mula-mula masjid kayu ini telah dibina tetapi pada tahun 1976 ia telah ditukar kepada batu  seperti yang kita lihat sekarang ini. Ia terletak di Kampung Kerawang, Pulai Chondong, Kelantan.

               

Ketika saya ke masjid ini pada bulan lepas, saya tidak dapat masuk ke dalam kerana waktu telah menghampiri solat Jumaat. Ramai jemaah telah mula memenuhi masjid bagi mendirikan solat Jumaat.  Jadi saya hanya pergi menziarah ke masjid batu bersebelahan masjid Al Amin sebelum azan Zohor. Kelihatannya masjid Al-Amin ini terbahagi kepada dua, bangunan Masjid Al-Amin dan juga masjid batu  yang telah usang dan uzur. 

Bangunan  masjid batu bersebelahan Masjid Al-Amin ini mula dibina pada tahun 1960 dan siap pada tahun 1962. Tetapi sejak bangunan masjid batu kedua ini siap, ia tidak pernah digunakan hinggalah sekarang atas sebab-sebab tertentu. Jadi masjid batu ini tidak bernama kerana tidak pernah digunakan. Penduduk kampung terus menggunakan masjid kayu yang asal hinggalah masjid kayu itu di tukar kepada batu pada tahun 1976. 

Masjid Al-Amin juga mempunyai menara seperti Masjid Pulai Chondong tetapi diperbuat daripada batu. Ia telah dibina pada tahun 1933 dan siap pada tahun 1936. Menara ini adalah menara yang kedua tertua di daerah Pulai Chondong selepas menara Tok Pulai Chondong di Masjid Pulai Chondong yang dibina pada tahun 1856-1857. Menara ini terletak di antara dua bangunan masjid batu ini. 


Masjid batu bersebelahan masjid asal yang dibina pada tahun 1960


Menara Masjid Al-Amin, Kerawang Oktober 2022 masih kekal dan digunakan hingga kini





Menara Masjid Pulai Chondong 1857


Menara masjid dibina bagi memudahkan bilal atau muazzin melaungkan azan supaya dapat didengar oleh penduduk kampung dan masih digunakan hingga kini. Hebatnya alim ulama zaman dahulu, bagi memastikan suara azan kedengaran dan memanggil penduduk kampung untuk solat bersama, dibinanya menara walau dengan segala bentuk kemudahan yang amat terhad. 

Masjid Al-Amin ini masih lagi dijaga oleh keturunan Tok Pulai Chondong. Imam masjid ini juga adalah merupakan cucu-cicit dari keturunan Tok Pulai Chondong. Masya Allah, alhamdulillah.
















Sabtu, 29 Oktober 2022

MASJID PULAI CHONDONG 1856

 Explorasi menjejak masjid lama di Kelantan kali ini membawa saya ke Masjid Pulai Chondong di bawah jajahan Machang, Kelantan. Masjid lama ini telah diberitahu kepada saya oleh Tok Penghulu Masjid Kampung Laut Tuan Haji Ghazali Bin Harun ketika saya pergi menziarah beliau sehari sebelum saya ke masjid ini. Jadi saya mengambil keputusan untuk ke masjid ini keesokkan harinya. 


Masjid Pulai Chondong pada Oktober 2022

Masjid Pulai Chondong mempunyai sejarah yang amat menarik terutama kisah menaranya yang agak unik dan masih berdiri tegak hingga ke hari ini sejak ia mula di bina iaitu pada tahun 1856, kira-kira 166 tahun yang lalu. Hebat dan kukuh pertukangan orang zaman dahulu.

Gambar lama Masjid Pulai Chondong pada tahun 1856 

Masjid Pulai Chondong dibina oleh Tuan Haji Abdul Samad Bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulai Chondong. Tok Pulai Chondong adalah seorang ulama Melayu yang bertanggungjawap menyebarkan syiar Islam di Nusantara pada abad ke 19 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II(1838-1886). 

Beliau telah berjaya mengembangkan syair Islam dan mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil sehingga menjadi masyarakat yang berilmu dan patuh pada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Beliau telah dilantik oleh Sultan Muhammad II sebagai guru di istana mengajar agama Islam. Tok Pulai Chondong telah membina dan mengasaskan sistem pengajian pondok di Pulai Chondong pada tahun 1820. Mereka yang datang dari pelbagai pelosok nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Patani, Trengganu dan lain-lain negeri di Semenanjung Tanah Melayu sendiri. 

Berdasarkan tahun berdirinya pusat pengajian pondok itu, maka para sejarawan Malaysia berkesimpulan bahawa Pondok Pulai Chondong merupakan pusat pengajian pondok terawal di Kelantan. 

Menurut sejarah, Tok Pulai Chondong ialah orang yang telah membuka Kampung Bilal Talib dan Kampung Pulai Chondong ini. Kampung ini mendapat nama berdasarkan dari sebuah pokok Pulai yang condong di pinggir kampung. Dari situ, perkampungan, masjid dan tuan guru sendiri iaitu Tuan Haji Abdul Samad Bin  Haji Abdullah mendapat gelaran sebagai Tok Pulai Chondong. 

Masjid ini dikatakan telah terbakar sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1820, ketika masjid ini terletak di Kampung Bilal Talib dan kemudiannya Tok Pulai Chondong memindahkan ke Kampung Surau. Pada tahun 1856, sekali lagi dengan takdir Allah yang telah tertulis, masjid ini telah hangus terbakar.

Tok Pulai Chondong mengambil keputusan membina masjid yang baru pada tahun yang sama iaitu 1856 dan berpindah di tepi sungai Pulai Chondong, tidak jauh dari tempat yang asal yang telah terbakar itu. Kali ini Tok Pulai Chondong mengarahkan untuk melengkapi masjid dengan menara, beduk dan mimbar. 

Bagi memastikan suara azan kedengaran di seluruh kawasan, Tok Pulai Chondong telah membina menara setinggi 18 meter, bergotong royong bersama-sama dengan ratusan penduduk kampung.


Tok Pulai Chondong telah memilih sendiri pokok kayu cengal batu yang diambil dari Bukit Cina, Kok Lanas. Bukit ini terletak kira-kira 10-15km jaraknya ke Kampung Pulai Chondong. 

Diceritakan oleh penduduk kampung kepada saya, ketika penduduk kampung ingin mengangkat dan membawa batang kayu cengal tersebut pulang ke kampung Pulai Chondong, penduduk kampung tidak dapat mengangkat dan menggerakkan batang pokok tersebut kerana terlalu berat. 

Tetapi dengan berkat doa, dan karomah waliyullah Tok Pulai Chondong, kayu tersebut dapat diangkat dengan menggunakan kudrat mereka dan berjalan kaki sejauh lebih dari 10km hingga berjaya di bawa pulang  untuk dibuat papan untuk menara. Subhan Allah, Masya Allah...hebat sungguh dengan keizinan Allah. 

Menaranya yang condong ke arah utara

Menara ini dibina dengan bentuk segi lapan dan terdiri daripada 25 anak tangga serta berukurlilit sepanjang 2.8 meter. Apa yang lagi menakjubkan tentang menara ini adalah, terasnya di tanam sehingga sedalam 8.3 meter dan ada juga yang mengatakan setinggi tiang menara itu tegak berdiri, begitulah juga kedalaman terasnya di tanam di dalam bumi. Masya Allah....

Di tengah-tengah menara ini telah didirikan sebatang tiang yang tidak berbumbung sebagai paksi. Semua bahagian menara ini diperbuat dari kayu cengal batu dengan hanya menggunakan beliong, pahat dan kapak. 

Keteguhan menara ini telah teruji apabila Kelantan dipukul ribut besar pada suatu ketika dulu tetapi menara ini tetap teguh berdiri, sedikit pun tidak terjejas walau pokok kecil dan besar di sekitarnya tumbang bergelimpangan. 

Uniknya lagi tentang menara ini adalah ia lebih condong ke arah utara, penduduk kampung pernah cuba menegakkannya semula tetapi tidak berjaya hingga kini. 

Sehingga kini menara ini masih berdiri teguh dan dalam keadaan yang baik, tidak dimakan oleh ana-anai. Speaker telah dipasang di puncak menara. Jika berlaku kerosakan kepada speaker, pihak masjid memastikan pekerja kontraktor yang akan membaiki speaker tersebut, mestilah mempunyai saiz badan yang sangat kurus dan kecil bagi membolehkan menaiki menara yang kecil laluannya ini.  


Terima kasih kepada AJK Masjid Tuan Abdul Razak Ibrahim sudi melayan
saya ketika kunjungan saya ke masjid ini. 





Mimbar yang asal pada tahun 1856. Saya rasa orang zaman dahulu bertubuh 
kecil berdasarkan saiz mimbar ini dan saiz pintu menara dan laluan tangga menara.

Beduk yang asal dari tahun 1856. 


Video penuh masjid ini dan ruang dalamnya ada di Youtube channel saya : https://www.youtube.com/MalayaTube


MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...