facebook

Isnin, 31 Oktober 2022

MASJID AL AMIN , KG KERAWANG 19OO an

 Masjid Al Amin Kampung Kerawang, Pulai Chondong adalah sebuah tapak masjid lama yang telah berusia lebih dari seratus tahun.  Pada asalnya ia adalah sebuah masjid kayu yang telah dibina oleh anak Tok Pulai Chondong yang ke empat iaitu Allahyarham Tuan Guru Haji Omar Bin Haji Abd Samad.

 Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1911 dan dikebumikan di perkuburan Mukim Kerawang yang terletak di sebelah masjid. Tidak dapat dipastikan bilakah mula-mula masjid kayu ini telah dibina tetapi pada tahun 1976 ia telah ditukar kepada batu  seperti yang kita lihat sekarang ini. Ia terletak di Kampung Kerawang, Pulai Chondong, Kelantan.

               

Ketika saya ke masjid ini pada bulan lepas, saya tidak dapat masuk ke dalam kerana waktu telah menghampiri solat Jumaat. Ramai jemaah telah mula memenuhi masjid bagi mendirikan solat Jumaat.  Jadi saya hanya pergi menziarah ke masjid batu bersebelahan masjid Al Amin sebelum azan Zohor. Kelihatannya masjid Al-Amin ini terbahagi kepada dua, bangunan Masjid Al-Amin dan juga masjid batu  yang telah usang dan uzur. 

Bangunan  masjid batu bersebelahan Masjid Al-Amin ini mula dibina pada tahun 1960 dan siap pada tahun 1962. Tetapi sejak bangunan masjid batu kedua ini siap, ia tidak pernah digunakan hinggalah sekarang atas sebab-sebab tertentu. Jadi masjid batu ini tidak bernama kerana tidak pernah digunakan. Penduduk kampung terus menggunakan masjid kayu yang asal hinggalah masjid kayu itu di tukar kepada batu pada tahun 1976. 

Masjid Al-Amin juga mempunyai menara seperti Masjid Pulai Chondong tetapi diperbuat daripada batu. Ia telah dibina pada tahun 1933 dan siap pada tahun 1936. Menara ini adalah menara yang kedua tertua di daerah Pulai Chondong selepas menara Tok Pulai Chondong di Masjid Pulai Chondong yang dibina pada tahun 1856-1857. Menara ini terletak di antara dua bangunan masjid batu ini. 


Masjid batu bersebelahan masjid asal yang dibina pada tahun 1960


Menara Masjid Al-Amin, Kerawang Oktober 2022 masih kekal dan digunakan hingga kini





Menara Masjid Pulai Chondong 1857


Menara masjid dibina bagi memudahkan bilal atau muazzin melaungkan azan supaya dapat didengar oleh penduduk kampung dan masih digunakan hingga kini. Hebatnya alim ulama zaman dahulu, bagi memastikan suara azan kedengaran dan memanggil penduduk kampung untuk solat bersama, dibinanya menara walau dengan segala bentuk kemudahan yang amat terhad. 

Masjid Al-Amin ini masih lagi dijaga oleh keturunan Tok Pulai Chondong. Imam masjid ini juga adalah merupakan cucu-cicit dari keturunan Tok Pulai Chondong. Masya Allah, alhamdulillah.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...