facebook

Isnin, 26 September 2022

MANUSKRIP MELAYU LAMA

 Manuskrip Melayu merupakan lambang kebijaksanaan para cendekiawan Melayu zaman dahulu. Kegiatan penulisan dan penghasilan manuskrip dalam pelbagai subjek bagi mewariskan ilmu dan pengetahuan mereka mengenai sesuatu perkara kepada generasi Melayu yang seterusnya. 

Antara bidang penulisan manuskrip Melayu yang sering diketengahkan ialah bidang keagamaan yang terdiri daripada ilmu tajwid, fekah, tasauf, akhlak dan sejarah manakala dalam bidang tradisi Melayu tempatan seperti hikayat, budaya dan perubatan. 

Manuskrip adalah nama yang diberikan kepada naskhah penulisan yang bertulis tangan. Manakala tulisan yang digunakan adalah  jawi. Tulisan jawi ialah tulisan yang diadaptasi daripada huruf-huruf Arab sebanyak 30 huruf dan Parsi sebanyak lima huruf bagi membentuk perkataan bahasa Melayu. 

Buku manuskrip Melayu tulisan tangan berkaitan undang-undang Melaka yang
menggunakan sebahagian kertas dari China dan Eropah.


Pen

Bahan yang digunakan untuk menulis manuskrip Melayu ialah pen, dakwat, kulit kayu dan kertas. Pen yang digunakan oleh para penulis Melayu pada zaman dahulu diperbuat daripada batang pelepah pokok resam.  Pokok resam adalah sejenis pokok daripada keluarga paku pakis yang besar dan kebanyakkannya tumbuh di kawasan hutan terutamanya di kawasan sejuk seperti di kawasan tanah tinggi. Pelepah daun pokok  resam diambil dan dibersihkan sebelum dipotong mengikut saiz dan mata pen yang diperlukan oleh penulis. 

Bagi menghasilkan tulisan Jawi yang kemas, sudut potongan mata pen perlu dilakukan dengan berhati-hati supata tidak mudah pecah dan boleh digunakan untuk masa yang lama. 

Pokok Resam

Pen dari batang pokok resam

Dakwat

Selepas pen, bahan lain yang diperlukan ialah dakwat untuk menulis. Terdapat beberapa bahan yang digunakan sebagai dakwat seperti yang ditemui oleh para pengkaji manuskrip Melayu. Selalunya dakwat yang digunakan oleh penulis Melayu adalah hitam. 

Bahan-bahan untuk menghasilkan dakwat ini terdiri daripada bahan daripada sumber alam semula jadi yang berada dalam dengan kehidupan masyarakat Melayu seperti jelaga, arang, akar tumbuhan dan dari sumber alam yang lain.

Kitab lama ini mengandungi doa-doa dan azimat cara ilmu perubatan melayu kuno yang ditulis atas kulit kayu dengan menggunakan dakwat dari akar tumbuhan. 

Jelaga atau butiran-butiran halus seperti arang yang terjadi dari asap lampu minyak tanah yang digunakan pada zaman dahulu juga digunakan sebagai dakwat. Seorang Undang Johol telah menggunakan lampu minyak tanah dan mengasapi cap mohor beliau bagi menghasilkan jelaga sebelum mengecap dokumen rasmi dalam satu majlis pada tahun 1948. 

Kertas

Satu lagi bahan asas yang penting yang diperlukan untuk menulis adalah kertas. Kertas dalam alam penulisan manuskrip Melayu bukanlah kertas yang boleh didapati pada hari ni. Kertas di alam Melayu dipanggil deluang yang diperbuat daripada lapisan kulit pokok seperti mulberi yang diketuk leper selepas lapisan dalam kulit pokok tersebut direndam sehingga lembut. Menurut dari pembacaan saya, pokok mulberi yang digunakan untuk membuat kertas deluang ini tidak mempunyai buah tetapi  daun dan batangnya sama bentuk dan sifat.  Jadi Inshaa Allah saya akan cuba proses dan membuat kertas deluang ini menggunakan pokok mulberi yang ada pada zaman ini. 

Pokok Mulberry

Kertas ini mempunyai tekstur dan tahan lama. Selain daripada kertas deluang, bahan lain untuk menulis ialah seperti kayu, daun nipah dan daun lontar. Permukaan setiap bahan yang digunakan untuk menulis menggunakan dakwat dan pen perlulah licin dan tidak terlalu kesat kerana ia akan mengganggu penulisan dan tulisan yang dihasilkan tidak jelas dan sukar untuk dibaca. 

Selain dari kertas deluang, kertas yang diimport  dari negara luar terutamanya dari Barat seperti Belanda, Perancis dan England. Kertas-kertas import ini kebanyakannya ditanda dengan cap perniagaan tersendiri yang dikenali sebagai tera air. 


Proses Pembuatan Deluang

Untuk membuat deluang, batang pohon mulberi dikuliti , dicuci dan dikeringkan. Setelah kering,  batang tersebut direndam selama 24 jam. Kemudian batang tersebut dipukul dan dibolak balikkan sehingga lebarnya mencapai 2-3x lebar, lalu dicelupkan ke dalam air beberapa saat, dan diperah airnya.  Kemudian deluang dilipat untuk mendapatkan hasil yang lebih lebar. 

Deluang tersebut kemudiannya dibungkus di dalam daun pisang selama 5-8 hari sehingga ia berlendir. Keluarkan deluang tadi dan dijemurkan pada batang pisang. Batang pisang digunakan supaya kulit deluang tersebut memiliki tekstur yang licin. Kemudian deluang tersebut diikat dengan serat batang pisang agar ia tidah jatuh setelah ia menjadi kering. Setelah kering, deluang digosok dengan kulit kerang untuk mendapatkan tekstur halus pada permukaannya. 

Dari segi pembuatannya, deluang memiliki beberapa kelebihan berbanding kertas biasa. Deluang yang dibuat secara tradisional adalah lebih tahan lama kerana proses pembuatannya tanpa bahan kimia sintesis. 

Selain daripada digunakan untuk dijadikan kertas untuk manuskrip sejak ratusan tahun dulu, deluang juga digunakan untuk membuat pakaian terutamanya dipakai oleh ahli sufi. Bahan dari kertas deluang ini mampu bertahan hingga ratusan tahun dan ia terbukti dari buku-buku manuskrip Melayu lama yang masih kekal dan dapat kita lihat hingga ke hari ini. 

Kertas Deluang

Kitab Hikayat Hang Tuah koleksi peribadi arwah abah yang ditulis pada 
tahun 1908 dan pertama kali dicetak pada tahun 1949













           



Rabu, 21 September 2022

MASJID OLAK SEPAM, PAGOH MUAR JOHOR 1931

 Ketika pulang ke kampung sempena cuti Hari Malaysia 2022, kali ini saya berazam menziarah masjid-masjid lama, rumah-rumah lama dan tempat bersejarah di Muar. Walau pun kampung saya di Muar        (sebelah ayah) saya belum pernah lagi menjejak tempat-tempat sejarah di Muar padahal Muar adalah salah satu tempat yang kaya dengan sejarah. 

Pada hari Sabtu,  saya bergerak ke Parit Bugis melihat rumah Keraton Mbah Anang untuk kali kedua kerana ingin mengajak mak dan abang saya sekeluarga melihat keunikan rumah Mbah walau saya telah pergi sendiri sehari sebelumnya.

Dari rumah Mbah Anang kami bergerak ke Pagoh. Disebabkan masa telah agak lewat, kami terus bergerak ke masjid tanpa sempat ke Masjid Jamek Kampung Raja, Galeri Bukit Kepong dan Makam Sultan Alauddin Riayat Syah I. 

Setibanya di Masjid Olak Sepam mengikut google map, ia bukanlah masjid lama yang ingin saya tuju tetapi ia adalah masjid baru Olak Sepam. Saya bertanya penduduk kampung dan mereka dengan baik hatinya membawa kami ke masjid tersebut. 

Masjid Olak Sepam Sept 2022

Sejarah Masjid 

Masjid ini telah dibina semula pada tahun  1931 di atas tapak masjid yang asal . Tidak dapat dipastikan sejak tahun bilakah tapak masjid yang asal telah wujud. Jika dikaji sejarah, Pagoh telah wujud sejak zaman Kesultanan Melaka lagi . Ia dikenali sebagai Kota Pagoh. 

Kedudukan masjid ini terletak betul-betul di pinggiran sungai Muar.  Kemungkinan besar masjid yang asal adalah sebuah masjid kayu yang telah musnah ditelan zaman dan juga kawasan tersebut sering dilanda banjir kerana kedudukannya yang berhadapan dengan sungai menyebabkan bencana alam sering melanda di kawasan ini.  



Pada  tahun 1961 iaitu 30 tahun kemudian,  ia telah dibesarkan dengan menggunakan batu bata dan dibina bumbung genting 'Marsille' menjadikan masjid ini mempunyai senibina dan keunikannya yang tersendiri iaitu kombinasi tempatan dan barat. 

Malangnya banjir besar 1971 yang berlaku di seluruh Malaysia kecuali 3 negeri di utara, turut menenggelamkan hingga ke ruang solat masjid ini. 

Gambar sebenar sewaktu kejadian banjir pada tahun 1971 di Balai Polis Bukit Kepong.
Koleksi gambar banjir seluruh Malaysia 1971 sewaktu ayahanda bertugas.

Oleh itu masjid yang baru telah dibina di kawasan yang lebih tinggi dan selamat tidak jauh dari masjid lama ini. Sejak itu masjid lama ini dibiarkan kosong dan usang hingga telah hampir musnah. 

Tetapi oleh kerana struktur binaan dan bentuknya yang unik  serta  sejarahnya yang tidak ternilai, atas usaha  penduduk kampung, Jabatan Muzium dan Antikuiti (JMA) telah melakukan kerja-kerja konservasi dengan mengekalkan bentuk asal masjid dan siap sepenuhnya pada 12 APRIL 2003 dan menjadikan ia warisan sejarah negeri Johor.  

Masjid ini telah dirasmikan oleh Y.B Dato Abd Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor pada 14 Syaaban 1424 bersamaan 14 Oktober 2003

Masjid Baru Kampung Olak Sepam 2022

Menurut penduduk kampung, walau Masjid Lama Olak Sepam tidak lagi digunakan oleh penduduk kampung untuk mengerjakan solat tetapi mereka masih tetap menjaga kebersihan dan kelestarian masjid ini. Menurut mereka juga, masjid ini masih lagi dikunjungi oleh kumpulan jemaah tabligh dua kali setahun sehingga kini bagi mengimarahkan masjid lama ini.  Sewaktu kunjungan saya pada minggu lepas, masjid ini kelihatannya terjaga dan bersih walau tidak digunakan lagi. 

Oleh kerana telah masuk waktu maghrib dari situ kami terus ke masjid baru Olak Sepam untuk menunaikan solat maghrib sebelum pulang ke rumah dan makan malam di Warong Olak Sepam. 



Kubah Masjid 
         
           
           Tingkap untuk pencahayaan dari ruang mihrab

           
Pandangan dari belakang masjid

           
Tangga besi untuk ke bumbung masjid
(Bagi sesiapa yang naik ke atas jangan lupa tutup semula pintu
atap ke bumbung bagi mengelakkan air masuk ke dalam ruang solat)

           
         Pintu masuk masjid di sebelah belakang 

          
            Bumbung masjid 

          
Kubah kecil




















Rabu, 14 September 2022

MASJID KAMPUNG TERSAN, RAUB PAHANG, KAMPUNG YG DIBUKA OLEH KETURUNAN LAKSAMANA HANG TUAH 1680M

Dalam perjalanan saya ke Kota Bharu, saya ternampak sebuah masjid kayu menghala ke Kuala Lipis betul-betul di belakang papan tanda Kampung Tersan.  Disebabkan saya amat suka mengkaji tentang masjid-masjid lama maka saya pun mengambil keputusan untuk memusing kereta semula. Masjid tersebut adalah Masjid Kampung Tersan  terletak di Mukim Sega, daerah Raub, Pahang. Ia terletak di laluan jalan utama ke Kota Bharu-Gua Musang. 
Masjid Tersan 2022

Bertemunya Kampung Tersan

Pada awal bulan August 2022  yang lalu, saya pulang ke Kota Bharu bersama anak sedara menaiki kereta kerana menemannya yang yang perlu hadir ke hospital di sana. Perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui Raub-Kuala Lipis-Merapoh-Gua Musang-KB. Seperti biasa anak sedara saya dah faham sangat perangai mak sedaranya yang sangat suka menjejak sejarah, bangunan dan rumah lama serta masjid-masjid lama. Saya mesti akan membuat pit stop di mana-mana tempat yang saya lihat mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Kira impromtu pit stop la. Anak sedara juga meminati sejarah, jadi lagilah seronok perjalanan kami ini. 

Saya juga adalah keturunan separuh Johor separuh Kelantan dari mak. Jadi balik ke Kota Bharu adalah seperti balik ke kampung sendiri walau mek(nenek) saya telah meninggal dunia. Tapi makcik makcik masih ada di Kota Bharu dan saya dari lahir di bela oleh mek di Kota Bharu, jadi saya agak rapat dengan makcik-makcik saya.

Setelah mengambil gambar  bangunan lama di Pekan Raub, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dan tiba-tiba saya ternampak sebuah masjid kayu seakan masjid lama di sebelah kanan. Saya pusing semula dan terus ke arah masjid. Walaupun kelihatan sederhana berbanding dengan masjid lama lain yang ada seni ukiran, pasak dan tanggam tetapi saya tertarik dengan bumbung dan dinding kayunya. Masjid ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Bak kata pepatah, Jauhari sahaja yang mengenal manikam...cewah hehehe.

Dalam pemikiran saya mesti ia sebuah masjid lama  zaman dahulu-kala. Ketika itu tidak ada jemaah di masjid memandangkan belum lagi masuk waktu Zohor.

Masjid Tersan 1942, kredit Tn Hasanuddin Mat Isa

Saya  mengambil gambar dan membaca batu penanda perasmian masjid. Tertulis Masjid Tersan ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muazzam Syah pada hari Khamis 26 Safar 1415 bersamaan 4 Ogos 1994. 

Aik, 1994? Firasat dalam hati kata, tak mungkin. Mesti  masjid ni lagi lama dari itu. I don't believe it. There's something about this masjid yang menguatkan firasat saya mengatakan ia adalah masjid tua. 
 




Kemudian  saya lihat ada kawasan perkuburan di sebelah masjid, terus saya melangkah ke sana. Walau tidak memasuki ke kawasan perkuburan, tapi saya berdiri di tepi pagar sambil memerhati nisan-nisan di kawasan kubur tersebut hinggalah saya ternampak satu batu nisan di bawah pokok yang lain dari yang lain. Kelihatan batu nisan tersebut sepertinya batu nisan di zaman lama. Sah!! Kan betul kata saya. Memang masjid ni mesti masjid pada zaman dahulu sekurang-kurangnya awal kurun ke 19 dalam pemikiran saya. 

Tidak lama kemudian jemaah mula datang kerana waktu menghampiri waktu Zohor. Saya sempat bertanya kepada jemaah masjid tetapi pakcik tersebut tidak berapa tahu sejarah masjid ini tapi katanya memang masjid lama. Setelah itu saya meneruskan perjalanan yang masih jauh. 

Lalu saya buat research sendiri,baca beberapa blog dan fb' akhirnya memang betul kampung ini tidak kurang hebat sejarahnya dan ia dibuka oleh seorang ulama Islam pada zaman dahulu dari keturunan Hang Tuah.  

Ruang solat Masjid Tersan 2022

Salasilah Keturunan Tok Imam Mat Amin Bin Tok Malik 

Kampung Tersan dibuka oleh Tok Imam Mat Amin sekitar tahun 1680M. Nama penuh beliau adalah  Tok Imam Mat Amin Bin Tok Malik Bin Ngah Endik Bin Muhamad Ali Jaafar Bin Raja Muhamad (Baginda Demu)

Baginda Demu atau Raja Muhammad merupakan seorang pembesar di negeri Perak, cucu Laksamana Hang Tuah.   Ayahanda Baginda Demu iaitu Raja Mahmud atau dikenali juga sebagai Raja Yusof atau Raja Bongsu berkahwin dengan salah seorang anak Laksamana Hang Tuah, Sri Dewi atau Halimah. 

Baginda Demu dikatakan datang berhijrah ke Hulu Pahang mengikut jejak langkah bapa saudaranya Hang Semaun yang telah terlebih dahulu membuka kawasan-kawasan lain sekitar Kuala Lipis. Bapa saudaranya kemudiannya dilantik oleh Pemerintah Pahang sebagai Orang Kaya Lipis Pertama.  
Baginda Demu pula telah membuka penempatan pertama di Lubok Yong, Kuala Lipis, kemudian mudik ke hulu dan membuka Kampung Pagar, Penjom Kuala Lipis pula.

Rumah atas sampan di Sungai Pahang Kuala Lipis 1890

 
Sejarah disebalik nama Kampung Tersan

Tok Mat Amin dan anak buahnya menyusur mudik Sungai Lipis dari Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Pahang. Beliau berhenti di suatu tanah pamah sebelah kiri mudik yang penuh ditumbuhi oleh perdu buluh aur, lalu membuka kampung di situ dan dinamakan Kampung Tanjung Aur

Ke arah daratan Sungai Lipis yang ditumbuhi buloh aur itu didapati pamah dan lembah, amat sesuai dijadikan sawah atau paya padi. Lalu Tok Mat Amin bersama-sama dengan anak buahnya membersihkan kawasan itu untuk dijadikan kawasan sawah padi. 

Terdapat tanah masin yang digelar jenud iaitu tempat binatang datang menjilat di situ. Tanah masin tersebut boleh menyuburkan semua jenis tanaman termasuk padi. Ke darat lagi, terdapat dua alur air yang kemudiannya dinamakan Sungai Buloh dan Sungai Ketiar. 

Kedua-dua alur itu disatukan menjadi parit besar seperti terusan terus ke Sungai Lipis. Terusan itulah yang membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah kampung lagi yang dinamakan Kampung Tersan

Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, Tersan bermaksud dalam. Jadi ia mungkin sebuah terusan yang dalam. 

                                                                                             Kredit sejarah Kg Tersan : Tn Hasanuddin Mat Isa, blog piathangtuah
                                                                                                                                                                         
Pada pendapat saya, Masjid Kampung Tersan ini sebenarnya telah wujud sejak sekian lama lagi.
Atau mungkin juga masjid ini dahulu terletak di tempat lain.   Mungkin sejak zaman dahulu ketika Tok Mat Amin masih lagi hidup kerana beliau juga adalah seorang imam, penghulu dan juga pawang. 

Cuma pastinya bangunan masjid yang asal telah dirobohkan serta diganti dari masa ke semasa mengikut peredaran zaman  kerana masjid pada zaman dahulu selalunya dibina daripada batang pinang, kayu dan beratap rumbia atau nipah. 
Jadi tapak masjid ini kemungkinan besar adalah tapak masjid sejak tahun 1680M setelah pembukaan Kampung Tersan ini .  ( Mungkin orang Kampung Tersan boleh membetulkan pandangan saya ini jika salah dan saya memohon maaf )

Orang dahulu amat mengambil berat tempat beribadat. Masjid adalah salah satu binaan yang paling penting yang akan dibina pada satu-satu penempatan awal pada zaman dahulu. Lagi pula Tok Mat Amin adalah seorang imam dan penghulu, maka masjid sudah tentunya mesti ada.

Di sebelah masjid ini juga terletaknya kubur Tok Mat Amin di atas bukit . Dikatakan orang ramai selalu pergi menziarah kuburnya kerana dia adalah seorang ulama Islam yang masyur dan dihormati pada zaman dahulu. Sayangnya saya tidak sempat untuk menziarah ke kubur beliau kerana kesuntukan waktu.

Disclaimer : 
Saya memohon maaf kepada penduduk Kampung Tersan jika ada kesalahan informasi dan andaian yang salah. Ia adalah berdasarkan pandangan saya semata-mata. 





       
            






 





Rabu, 7 September 2022

MASJID AR-RAHMAN MUKIM KEDAI MULONG, KELANTAN

 Masjid Ar-Rahman di Mukim Kedai Mulong, Kota Bharu Kelantan adalah sebuah bangunan lama yang dibaik pulih menjadi masjid hingga ke hari ini. Pada asalnya ia adalah Balairong Seri Diraja kepunyaan Raja Dewa atau Tuan Zainal Abidin(1897-1945), iaitu Putera kepada Sultan Muhammad III. Sultan Muhammad III adalah Raja Kelantan pada tahun 1889-1890 yang dikenali juga sebagai Long Kundur atau Raja Bendahara. Ia dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV.





Sultan Muhammad III merupakan saudara kandung kepada Sultan Muhammad IV yang memerintah Kelantan dari 1899-1890. Kedudukan asal Balairong Seri ini adalah di Perkampungan Diraja pusat bandar Kota Baharu iaitu berhampiran Istana Jahar dan juga Istana Balai Besar. 

Pada tahun 1958, pihak istana ingin merobohkan balairong seri ini bagi memberi laluan pembesaran istana. Dikatakan salah seorang pekerja istana yang berasal dari Mukim Kedai Mulong bermuafakat dengan penduduk kampung Kedai Mulong untuk membeli balairong seri ini kerana ketika itu Kampung Kedai Mulong masih lagi tidak mempunyai masjid. 

Penduduk kampung Kedai Mulong telah membeli dengan harga yang dipersetujui bersama dengan pihak istana sebanyak RM1000 yang telah dikumpul dari kerjasama dan permuafakatan penduduk kampung. 

Kredit : KotaCity


Senibina Masjid 

Balairong seri kemudiannya dirombak dengan struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua bagi memudahkan perpindahan balairong seri ke Kampung Kedai Mulong. Masjid ini dipindahkan ke atas sebidang tanah wakaf kepunyaan Haji Abd Rahman Bin Haji Ismail di Lot 495, Kampung Surau Lama Mulong di KM 11 Jalan Kuala Krai, Kota Bharu Kelantan. 
Balairong Seri itu kemudiannya dipasang semula secara bergotong royong dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk. 

Bagi penghargaan kepada Tuan Haji Abd Rahman atas jasa baiknya yang telah mewakafkan tanahnya, maka masjid ini diberi nama Masjid Ar-Rahman. 

Full video sejarah Masjid Ar-Rahman dan senibinanya















Ahad, 4 September 2022

MASJID JIN 1905

 Masjid Lama Kampung Pancang Bedena atau lebih dikenali sebagai Masjid Jin adalah antara masjid yang tertua di negeri Selangor. Ia dibina pada tahun 1905 iaitu 117 tahun yang lalu. 

Masjid Jin 2022

Nama masjid ini diambil sempena nama kampung ini, iaitu Kampung Panchang Bedena mukim Panchang Bedena daerah Sungai Besar, Sabak Bernam Selangor. Sejarah nama Panchang Bedena ini pula di ambil sempena peristiwa penemuan sebuah bedena besar iaitu tempayan bekas menyimpan harta karun di dasar laut yang kemudiannya di pancang kayu oleh penduduk kampung sebagai tanda untuk memudahkan orang kampung membawanya ke darat. 

Pengasas Masjid

Masjid ini diasaskan oleh Tuan Haji Muhamad bin Haji Shafie menantu kepada Penghulu Haji Talib yang lebih dikenali sebagai Haji Taib Keramat iaitu orang pertama yang datang dan membuka kampung ini selepas Perang Selangor. Beliau merupakan Penghulu kampung pada waktu itu. Beliau memohon perkenan daripada Sultan Aleddin Sulaiman Shah serta penduduk kampung untuk mendirikan masjid di atas tanahnya seluas setengah ekar yang telah beliau wakafkan. 

Tukang yang bertanggungjawap terhadap pembinaan masjid ini ialah Encik Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Abdul Hamid Tukang yang berasal dari Kampung Sungai Keli, Sabak Bernam dan dibantu oleh Bilal Hashim dan Haji Muhamad Jawa dan turut dibantu oleh penduduk kampung berbangsa cina yang dikenali sebagai Ang Gun. 

Senibina Masjid 

Masjid ini pada asalnya dibina dengan menggunakan batang pinang sebagai lantai dan dinding. Manakala atapnya daripada daun rumbia. Hasil usaha penduduk kampung dan masyarakat setempat, masjid ini telah dibina semula pada tahun 1979 bagi menggantikan bangunan asal yang telah uzur dan musnah. 

Masjid ini diubahsuai dengan menggunakan kayu sepenuhnya dan beratapkan zink dengan menampilkan reka bentuk gabungan bumbung bertingkat dan bumbung limas yang dikenali sebagai bumbung limas bungkus yang menambahkan keunikan dan keindahan masjid ini. 

Reka bentuk masjid yang kelihatan seperti rumah kayu kampung menjadikan masjid ini sangat unik dan klasik . 

Misteri Masjid Jin 

Masjid ini juga menyimpan kisah-kisah aneh dan misteri yang tersendiri. Masjid ini bukan sahaja dikunjungi oleh penduduk kampung malah ia turut diimarahkan oleh golongan jin ketika waktu solat. Pelbagai kejadian aneh yang berlaku di masjid ini dan juga suara-suara aneh. Ikuti cerita-cerita aneh tersebut yang diceritakan sendiri oleh Tuan Imam Masjid iaitu Haji Yakob Bin Kamaruddin dalam temubual saya dengan beliau pada bulan August 2022 di channel Youtube saya di 
link : https://youtu.be/yuv0Ad0HHxs

Youtube channel : www.youtube.com/c/MasOutNAbout

Gelaran Masjid jin ini bermula apabila penduduk tempatan mendakwa ketika awal pembukaannya, kawasan masjid sentiasa kelihatan terang pada waktu malam seolah-olah ada orang yang sedang mengggunakan masjid. Alunan zikir dan bacaan al-Quran juga dikatakan sering kedengaran pada waktu malam dan subuh walaupun tiada penduduk kampung yang berada di masjid berkenaan. 

Kejadian jemaah yang tidur dalam masjid khususnya di kawasan mimbar, akan diangkat atau dialihkan ke tempat lain atau di tepi perigi adalah satu perkara biasa yang berlaku di masjid itu. Malah ada penduduk mendakwa pernah bertembung makhluk ghaib yang dipercayai jin ketika beribadat di situ.


 

Kolam air

Selain dari pengalaman serta kejadian yang agak aneh dan mistik yang berlaku di Masjid Jin ini, terdapat satu kolam yang digali di hadapan serambi masjid sebagai kemudahan jemaah masjid mengambil wudhu. Kolam air ini dikatakan tidak pernah kering walaupun sudah berusia lebih dari 100 tahun dan juga ketika musim kemarau. 

Air dari kolam air ini juga  dikatakan telah membantu dan merawat penyakit kulit dari beberapa pengunjung yang telah menggunakan air tersebut dengan izin ALLAH

Kolam ini telah digunakan sebagai sumber air oleh penduduk kampung sejak masjid ini dibuka terutamanya pada musim kemarau. Walau bagaimanapun kolam ini tidak lagi digunakan semenjak masjid ini disalurkan dengan kemudahan bekalan air paip. Namun begitu air di kolam tersebut tetap ada dan penuh. 

Orang orang tua kita dahulu ada menggunakan kaedah rawatan perubatan dengan menggunakan air yang diambil dari kolah masjid termasuk arwah ayah saya sendiri juga. Menurut kajian saintifik oleh Pakar scientist dari Jepun, satu kajian telah dilakukan terhadap molekul air yang telah dibacakan ayat-ayat suci dari Al-Quran dengan molekul air yang kosong dan air yang didedahkan dengan perkataan-perkataan yang tidak elok. 
Terdapat perubahan yang sangat cantik dan tersusun pada molekul air yang telah dibaca dengan ayat-ayat suci Al-Quran berbanding molekul air yang kosong. Subhan Allah, betapa hebatnya kuasa Allah.
Alhamdulillah 

Jadi pada pandangan peribadi saya , air kolam tersebut atau air kolah di mana-mana masjid dan surau yang terdedah setiap hari dan waktu dengan bunyi azan, zikir dan lantunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran mempunyai keberkatan dan khasiat-khasiat yang tertentu dengan izin Allah kerana ayat-ayat suci Al-Quran adalah juga bersifat syifa'. Wallahuallam. 

Solat Jumaat 

Pada hari ini, Masjid Jin tidak lagi digunakan untuk sembahyang Jumaat kerana masjid baru telah dibina yang terletak di jalan utama kampung ini. walaupun begitu masjid lama ini masih lagi diimarahkan oleh orang kampung terutamanya menunaikan solat lima waktu dan solat pada hari raya.  













Sumber : Tuan Haji Yakob Bin Kamaruddin, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Lama Panchang Bedena
(Masjid Jin) 





















Sabtu, 3 September 2022

Masjid Zahir, Masjid Tertua Kedah 1912

Masjid Zahir  atau dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan sebuah masjid tertua di negeri Kedah yang dibina pada tahun 1912 dan siap sepenuhnya pada tahun 1915. Masjid ini juga merupakan masjid negeri yang terletak di pusat bandaraya Alor Setar dengan bercirikan kubah hitam yang terdiri daripada satu kubah utama dan lima kubah lebih kecil yang melambangkan lima rukun Islam. 

Gambar Masjid Zahir ketika zaman penjajahan British

Masjid Zahir ini telah di bina di atas tapak masjid lama. Masjid lama tersebut pula telah di bina pada tahun 1735 daengan menggunakan binaan daripada kayu  ketika era zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II iaitu Sultan Kedah ke 19. 

Di tapak masjid lama ini pula terdapat pusara makam pahlawan Kedah yang telah gugur ketika serangan Siam di Kedah pada tahun 1821. Perang ini yang dikenali sebagai Perang Musuh Bisik bermula pada 12 November 1821 ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II iaitu Sultan Kedah ke 22(1804-1845).  Serangan Raja Ligor Siam bersama 7,000 bala tenteranya telah menyerang Kota Kuala Kedah secara mengejut dan berlanjutan selama 21 tahun. Peperangan ini telah menyebabkan ramai rakyat jelata Kedah telah gugur shahid memperjuangkan dan mempertahankan negeri Kedah. 

Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Zahir

Gambar masjid ini diambil pada tahun 2020. Saya tidak dapat masuk ke dalam 
disebabkan masjid masih tutup disebabkan PKP. Masih meunggu peluang untuk ke Utara semula.


Masjid ini terbina atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Syah.  
 
Ahli jawatan kuasa pembinaan masjid dibentuk dengan diketuai oleh Tunku Mahmud Ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah, Yang Dipertua Mesyuarat Negeri ketika itu. Ahli-ahli jawatankuasa termasuklah Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul hamid Halim Shah, Syed hassan Shahabuddin(Hakim Besar), Muhammad Ariffin Bin Muhammad Ashad(Setiausaha keajaan Negeri), W.G Maxwell(Penasihat Inggeris) dan J.Gorman sebagai Jurutera Negeri. 

Goman bertindak sebagai pelukis pelan bersama-sama seorang anak tempatan yang dikenali sebagai Pak Din. 

Masjid ini mendapat inspirasi daripada senibina Masjid Azizi di Sumatera Utara peninggalan Kesultanan Langkat. Ketika itu Masjid Azizi adalah masjid yang tercantik di Nusantara. 

Masjid Azizi di Sumatera Utara,menjadi inspirasi senibina Masjid Zahir.

Pembinaan dan Perasmian Masjid

Pembinaan masjid bermula pada 11hb Mac 1912. Tapak keluasan Masjid Zahir berukuran 39 meter persegi dan dikelilingi oleh ruang serambi seluas 2.4 meter lebar dengan 4 anjung dan 5 buah kubah. 

Majid Zahir akhirnya siap pembinaan sepenuhnya pada tahun 1915 yang mengambil masa selama 3 tahun. 

Upacara perasmian telah diadakan pada hari Jumaat, 6 Zulhijjah 1333H bersamaan  15 Oktober 1915 yang telah dirasmikan oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. 

Pada hari perasmian, Almarhum Baginda Sultan Abdul Hamid Halim Shah berkenan mengimamkan solat Jumaat manakala Tunku Mahmud bertindak sebagai pembaca khutbah. 




Kedit foto : Ismakedah

Masjid Zahir telah mengalami proses pembesaran pada tahun 1960 dan kali kedua pada tahun 1975. 

Selain pernah diabadikan sebagai imej di setem, Masjid Zahir juga telah disenaraikan sebagai salah satu masjid tercantik didunia. 






















Sumber Rujukan : Wikipedia
                               IsmaKedah
                               Iluminasi.com















Khamis, 1 September 2022

War Memorial Monument, Kota Bharu Kelantan

Tugu Peringatan Perang, Kota Bharu Kelantan. 

Tugu ini di dibina oleh pihak British pada zaman penjajahan British sebelum Perang Dunia Kedua. Ia dibina sebagai penghormatan dan mengingati jasa baik pegawai British yang berkhidmat di Kelantan dan terkorban sewaktu Perang Dunia Pertama atau Great War 1914-1918. 

Gambar pada zaman penjajahan British

Tugu ini terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu di Padang Merdeka atau lebih dikenali sebagai Padang Bank dikalangan masyarakat Kelantan. Di Padang Bank ini banyak peristiwa penting telah berlaku di sini. 

Disini lah mayat Tok Janggut, Pahlawan Pasir Puteh telah digantung secara songsang pada tahun 1915. 

Di padang ini juga pengistiharaan kemerdekaan telah diadakan pada 31hb Ogos 1957. Sejak itulah nama padang ini dinamakan Padang Merdeka secara rasmi. 






MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...