facebook

Jumaat, 9 Disember 2022

TAMAN SERENDAH SEKEBUN BUNGA CERANG TEGAYONG

 Saya diberitahu tentang kewujudan tapak bersejarah ini oleh salah seorang kerabat Kelantan ketika mengunjungi ke terataknya pada  kunjungan saya yang pertama pd bulan Ogos lalu. 

Taman Sekebun Bunga Disember 2022

Diberitahu saya untuk mengunjungi ke taman ini memandangkan ia adalah salah satu tapak sejarah peninggalan Cik Siti Wan Kembang dan taman rekreasi bagi Puteri Saadong pada suatu ketika dulu. 

Akhirnya pada kunjungi kali ini barulah ada kesempatan utk mengunjungi bersama mak, abang & isteri serta makcik2 dan pakcik saya.

Tidak ramai yang menyedari kewujudan Taman Serendah Sekebun Bunga(termasuk keluarga saya di Kelantan), peninggalan Cik Siti Wan Kembang - wanita yang menerajui pemerintahan Kelantan pada masa silam. 

Taman ini mungkin boleh mengimbau bayangan terhadap Cik Siti Wan Kembang dan anak angkatnya, Puteri Saadong yang kisah mereka disaluti mitos dan legenda itu.

Terletak di kawasan agak berbukit di tepi sungai dan terdapat sebuah kolam yg hampir kering,  di kelilingi pohon menghijau dan udara yang nyaman. Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong dikatakan menghabiskan waktu terluang di sini. 

Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong yang menjadi tempat permainan dan bersukaria baginda dan anak angkatnya Puteri Saadong merupakan sebahagian daripada kota yang dibina Raja keenam Kelantan itu di satu kawasan hutan yang dipenuhi pokok tegayong.

Cik Siti Wan Kembang membina Kota Tegayong sebagai pusat pentadbiran baru baginda selepas Gunung Chintawangsa di Dabong, Kuala Krai, Kelantan. 


Baginda yang memerintah negeri dari 1610 sehingga 1677 membuka Kota Tegayong setelah mudik ke hilir Sungai Kelantan apabila bersahabat dengan Raja Jembal.

Pakar sejarah mengatakan baginda kembali semula ke Gunung Chintawangsa di hujung pemerintahannya dan kisah mengenai Cik Siti Wan Kembang lenyap di situ. 

Peninggalannya hanyalah tapak sebuah taman purba yang wujud pada abad ke-17, selain keindahan nama timangan bagi sebuah negeri dan pemerintah wanita tersohor.

Tapaknya berdekatan Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, 25 kilometer dari bandar Kota Bharu dan kira-kira 500 meter dari jalan utama, namun tiada petunjuk untuk ke situ. Kami terpaksa bertanya orang kampung, alhamdulillah orang yang ditanya rupanya penjaga taman tersebut dan kami mengikuti dia yang menaiki motor & membawa ke taman tersebut. 

Taman Serendah Sekebun Bunga juga telah dimasukkan dalam senarai tempat menarik untuk dikunjungi dalam laman web Majlis Daerah Ketereh. 

Taman ini kini dijaga oleh En. Mohd Sidek Mat Husin, iaitu seorang peniaga yang mengawasi taman itu sejak 2007. Beliau diminta oleh arwah sepupunya Hashim Isa, penjaga asal lokasi bersejarah tersebut untuk terus menjaga taman itu agar tidak lenyap ditelan zaman.

En. Mohd. Sidek berkata setiap minggu ada saja pengunjung yang datang ke situ untuk mandi di kolam taman tersebut kononnya air kolam di taman itu dapat mengubati pelbagai penyakit seperti buatan orang, penyakit kulit atau untuk mudah mendapat jodoh. wallahuallam.

Ahad, 6 November 2022

KAMPUNG PARIT MERBAU BERDARAH

 Pertama kali bila terlihat papan tanda  Kampung Merbau Berdarah di sebelah kiri jalan utama  menghala ke lebuhraya Tangkak dari bandar Muar menyebabkan saya terfikir, adakah pernah terjadi peristiwa tragis pada zaman dahulu di kampung ini? Saya pasti begitu juga orang lain, mesti berfikiran seperti saya.   

Papantanda Kampung Parit Merbau Berdarah November 2022


Kampung Merbau Berdarah terletak di Kampung Rawang ,Mukim Sungai Mati, Muar, Johor. Sebuah kampung di negeri lain juga mempunyai nama yang sama iaitu Kampung Merbau Berdarah yang terletak di Sungai Besar, Sabak Bernam. 

Saya cuba mencari sejarah Kampung Merbau Berdarah di Muar tetapi tidak ketemu. Kemungkinan sejarah Kampung Merbau Berdarah di Selangor adalah sama dengan sejarah bagaimana kampung ini mendapat nama Kampung Merbau Berdarah. 

Tetapi yang pasti tiada langsung peristiwa tragis yang melibatkan pertumpahan darah atau pembunuhan berlaku di sini. Nama kampung Merbau Berdarah dipercayai diambil dari pokok-pokok kayu merbau yang terdapat di tepi-tepi sungai di kampung tersebut. 

Pokok  merbau katanya akan mengeluarkan getah seakan getah seakan-akan warna darah dan apabila ditoreh getahnya akan mengalir dan menitis jatuh ke tanah. 

Sewaktu penempatan awal penduduk, mereka menjalankan aktiviti ekonomi dengan menangkap ikan di sungai dan mencari hasil di hutan. Mereka akan menambat sampan pada batang pokok merbau yang mengeluarkan getah terbabit. 

Setiap kali penduduk menambat sampan, pasti getah pada pokok akan terkeluar seperti darah pekat yang mengalir. Jadi bila orang kampung bertanya, nak ke mana tu ? Jadi mereka akan jawap nak ke sungai tempat merbau berdarah. 

Meskipun nama merbau masih lagi digunakan dan diabadikan sebagai nama penempatan hingga kini, tetapi sayangnya tiada lagi pokok merbau kelihatan di kampung-kampung terbabit. Pokok ini samaada telah ditebang kerana mempunyai nilai yang tinggi dan juga pupus disebabkan oleh hakisan dan penebangan hutan untuk dijadikan penempatan penduduk kampung. 








Isnin, 31 Oktober 2022

MASJID AL AMIN , KG KERAWANG 19OO an

 Masjid Al Amin Kampung Kerawang, Pulai Chondong adalah sebuah tapak masjid lama yang telah berusia lebih dari seratus tahun.  Pada asalnya ia adalah sebuah masjid kayu yang telah dibina oleh anak Tok Pulai Chondong yang ke empat iaitu Allahyarham Tuan Guru Haji Omar Bin Haji Abd Samad.

 Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1911 dan dikebumikan di perkuburan Mukim Kerawang yang terletak di sebelah masjid. Tidak dapat dipastikan bilakah mula-mula masjid kayu ini telah dibina tetapi pada tahun 1976 ia telah ditukar kepada batu  seperti yang kita lihat sekarang ini. Ia terletak di Kampung Kerawang, Pulai Chondong, Kelantan.

               

Ketika saya ke masjid ini pada bulan lepas, saya tidak dapat masuk ke dalam kerana waktu telah menghampiri solat Jumaat. Ramai jemaah telah mula memenuhi masjid bagi mendirikan solat Jumaat.  Jadi saya hanya pergi menziarah ke masjid batu bersebelahan masjid Al Amin sebelum azan Zohor. Kelihatannya masjid Al-Amin ini terbahagi kepada dua, bangunan Masjid Al-Amin dan juga masjid batu  yang telah usang dan uzur. 

Bangunan  masjid batu bersebelahan Masjid Al-Amin ini mula dibina pada tahun 1960 dan siap pada tahun 1962. Tetapi sejak bangunan masjid batu kedua ini siap, ia tidak pernah digunakan hinggalah sekarang atas sebab-sebab tertentu. Jadi masjid batu ini tidak bernama kerana tidak pernah digunakan. Penduduk kampung terus menggunakan masjid kayu yang asal hinggalah masjid kayu itu di tukar kepada batu pada tahun 1976. 

Masjid Al-Amin juga mempunyai menara seperti Masjid Pulai Chondong tetapi diperbuat daripada batu. Ia telah dibina pada tahun 1933 dan siap pada tahun 1936. Menara ini adalah menara yang kedua tertua di daerah Pulai Chondong selepas menara Tok Pulai Chondong di Masjid Pulai Chondong yang dibina pada tahun 1856-1857. Menara ini terletak di antara dua bangunan masjid batu ini. 


Masjid batu bersebelahan masjid asal yang dibina pada tahun 1960


Menara Masjid Al-Amin, Kerawang Oktober 2022 masih kekal dan digunakan hingga kini





Menara Masjid Pulai Chondong 1857


Menara masjid dibina bagi memudahkan bilal atau muazzin melaungkan azan supaya dapat didengar oleh penduduk kampung dan masih digunakan hingga kini. Hebatnya alim ulama zaman dahulu, bagi memastikan suara azan kedengaran dan memanggil penduduk kampung untuk solat bersama, dibinanya menara walau dengan segala bentuk kemudahan yang amat terhad. 

Masjid Al-Amin ini masih lagi dijaga oleh keturunan Tok Pulai Chondong. Imam masjid ini juga adalah merupakan cucu-cicit dari keturunan Tok Pulai Chondong. Masya Allah, alhamdulillah.
















Sabtu, 29 Oktober 2022

MASJID PULAI CHONDONG 1856

 Explorasi menjejak masjid lama di Kelantan kali ini membawa saya ke Masjid Pulai Chondong di bawah jajahan Machang, Kelantan. Masjid lama ini telah diberitahu kepada saya oleh Tok Penghulu Masjid Kampung Laut Tuan Haji Ghazali Bin Harun ketika saya pergi menziarah beliau sehari sebelum saya ke masjid ini. Jadi saya mengambil keputusan untuk ke masjid ini keesokkan harinya. 


Masjid Pulai Chondong pada Oktober 2022

Masjid Pulai Chondong mempunyai sejarah yang amat menarik terutama kisah menaranya yang agak unik dan masih berdiri tegak hingga ke hari ini sejak ia mula di bina iaitu pada tahun 1856, kira-kira 166 tahun yang lalu. Hebat dan kukuh pertukangan orang zaman dahulu.

Gambar lama Masjid Pulai Chondong pada tahun 1856 

Masjid Pulai Chondong dibina oleh Tuan Haji Abdul Samad Bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulai Chondong. Tok Pulai Chondong adalah seorang ulama Melayu yang bertanggungjawap menyebarkan syiar Islam di Nusantara pada abad ke 19 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II(1838-1886). 

Beliau telah berjaya mengembangkan syair Islam dan mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil sehingga menjadi masyarakat yang berilmu dan patuh pada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Beliau telah dilantik oleh Sultan Muhammad II sebagai guru di istana mengajar agama Islam. Tok Pulai Chondong telah membina dan mengasaskan sistem pengajian pondok di Pulai Chondong pada tahun 1820. Mereka yang datang dari pelbagai pelosok nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Patani, Trengganu dan lain-lain negeri di Semenanjung Tanah Melayu sendiri. 

Berdasarkan tahun berdirinya pusat pengajian pondok itu, maka para sejarawan Malaysia berkesimpulan bahawa Pondok Pulai Chondong merupakan pusat pengajian pondok terawal di Kelantan. 

Menurut sejarah, Tok Pulai Chondong ialah orang yang telah membuka Kampung Bilal Talib dan Kampung Pulai Chondong ini. Kampung ini mendapat nama berdasarkan dari sebuah pokok Pulai yang condong di pinggir kampung. Dari situ, perkampungan, masjid dan tuan guru sendiri iaitu Tuan Haji Abdul Samad Bin  Haji Abdullah mendapat gelaran sebagai Tok Pulai Chondong. 

Masjid ini dikatakan telah terbakar sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1820, ketika masjid ini terletak di Kampung Bilal Talib dan kemudiannya Tok Pulai Chondong memindahkan ke Kampung Surau. Pada tahun 1856, sekali lagi dengan takdir Allah yang telah tertulis, masjid ini telah hangus terbakar.

Tok Pulai Chondong mengambil keputusan membina masjid yang baru pada tahun yang sama iaitu 1856 dan berpindah di tepi sungai Pulai Chondong, tidak jauh dari tempat yang asal yang telah terbakar itu. Kali ini Tok Pulai Chondong mengarahkan untuk melengkapi masjid dengan menara, beduk dan mimbar. 

Bagi memastikan suara azan kedengaran di seluruh kawasan, Tok Pulai Chondong telah membina menara setinggi 18 meter, bergotong royong bersama-sama dengan ratusan penduduk kampung.


Tok Pulai Chondong telah memilih sendiri pokok kayu cengal batu yang diambil dari Bukit Cina, Kok Lanas. Bukit ini terletak kira-kira 10-15km jaraknya ke Kampung Pulai Chondong. 

Diceritakan oleh penduduk kampung kepada saya, ketika penduduk kampung ingin mengangkat dan membawa batang kayu cengal tersebut pulang ke kampung Pulai Chondong, penduduk kampung tidak dapat mengangkat dan menggerakkan batang pokok tersebut kerana terlalu berat. 

Tetapi dengan berkat doa, dan karomah waliyullah Tok Pulai Chondong, kayu tersebut dapat diangkat dengan menggunakan kudrat mereka dan berjalan kaki sejauh lebih dari 10km hingga berjaya di bawa pulang  untuk dibuat papan untuk menara. Subhan Allah, Masya Allah...hebat sungguh dengan keizinan Allah. 

Menaranya yang condong ke arah utara

Menara ini dibina dengan bentuk segi lapan dan terdiri daripada 25 anak tangga serta berukurlilit sepanjang 2.8 meter. Apa yang lagi menakjubkan tentang menara ini adalah, terasnya di tanam sehingga sedalam 8.3 meter dan ada juga yang mengatakan setinggi tiang menara itu tegak berdiri, begitulah juga kedalaman terasnya di tanam di dalam bumi. Masya Allah....

Di tengah-tengah menara ini telah didirikan sebatang tiang yang tidak berbumbung sebagai paksi. Semua bahagian menara ini diperbuat dari kayu cengal batu dengan hanya menggunakan beliong, pahat dan kapak. 

Keteguhan menara ini telah teruji apabila Kelantan dipukul ribut besar pada suatu ketika dulu tetapi menara ini tetap teguh berdiri, sedikit pun tidak terjejas walau pokok kecil dan besar di sekitarnya tumbang bergelimpangan. 

Uniknya lagi tentang menara ini adalah ia lebih condong ke arah utara, penduduk kampung pernah cuba menegakkannya semula tetapi tidak berjaya hingga kini. 

Sehingga kini menara ini masih berdiri teguh dan dalam keadaan yang baik, tidak dimakan oleh ana-anai. Speaker telah dipasang di puncak menara. Jika berlaku kerosakan kepada speaker, pihak masjid memastikan pekerja kontraktor yang akan membaiki speaker tersebut, mestilah mempunyai saiz badan yang sangat kurus dan kecil bagi membolehkan menaiki menara yang kecil laluannya ini.  


Terima kasih kepada AJK Masjid Tuan Abdul Razak Ibrahim sudi melayan
saya ketika kunjungan saya ke masjid ini. 





Mimbar yang asal pada tahun 1856. Saya rasa orang zaman dahulu bertubuh 
kecil berdasarkan saiz mimbar ini dan saiz pintu menara dan laluan tangga menara.

Beduk yang asal dari tahun 1856. 


Video penuh masjid ini dan ruang dalamnya ada di Youtube channel saya : https://www.youtube.com/MalayaTube


Isnin, 26 September 2022

MANUSKRIP MELAYU LAMA

 Manuskrip Melayu merupakan lambang kebijaksanaan para cendekiawan Melayu zaman dahulu. Kegiatan penulisan dan penghasilan manuskrip dalam pelbagai subjek bagi mewariskan ilmu dan pengetahuan mereka mengenai sesuatu perkara kepada generasi Melayu yang seterusnya. 

Antara bidang penulisan manuskrip Melayu yang sering diketengahkan ialah bidang keagamaan yang terdiri daripada ilmu tajwid, fekah, tasauf, akhlak dan sejarah manakala dalam bidang tradisi Melayu tempatan seperti hikayat, budaya dan perubatan. 

Manuskrip adalah nama yang diberikan kepada naskhah penulisan yang bertulis tangan. Manakala tulisan yang digunakan adalah  jawi. Tulisan jawi ialah tulisan yang diadaptasi daripada huruf-huruf Arab sebanyak 30 huruf dan Parsi sebanyak lima huruf bagi membentuk perkataan bahasa Melayu. 

Buku manuskrip Melayu tulisan tangan berkaitan undang-undang Melaka yang
menggunakan sebahagian kertas dari China dan Eropah.


Pen

Bahan yang digunakan untuk menulis manuskrip Melayu ialah pen, dakwat, kulit kayu dan kertas. Pen yang digunakan oleh para penulis Melayu pada zaman dahulu diperbuat daripada batang pelepah pokok resam.  Pokok resam adalah sejenis pokok daripada keluarga paku pakis yang besar dan kebanyakkannya tumbuh di kawasan hutan terutamanya di kawasan sejuk seperti di kawasan tanah tinggi. Pelepah daun pokok  resam diambil dan dibersihkan sebelum dipotong mengikut saiz dan mata pen yang diperlukan oleh penulis. 

Bagi menghasilkan tulisan Jawi yang kemas, sudut potongan mata pen perlu dilakukan dengan berhati-hati supata tidak mudah pecah dan boleh digunakan untuk masa yang lama. 

Pokok Resam

Pen dari batang pokok resam

Dakwat

Selepas pen, bahan lain yang diperlukan ialah dakwat untuk menulis. Terdapat beberapa bahan yang digunakan sebagai dakwat seperti yang ditemui oleh para pengkaji manuskrip Melayu. Selalunya dakwat yang digunakan oleh penulis Melayu adalah hitam. 

Bahan-bahan untuk menghasilkan dakwat ini terdiri daripada bahan daripada sumber alam semula jadi yang berada dalam dengan kehidupan masyarakat Melayu seperti jelaga, arang, akar tumbuhan dan dari sumber alam yang lain.

Kitab lama ini mengandungi doa-doa dan azimat cara ilmu perubatan melayu kuno yang ditulis atas kulit kayu dengan menggunakan dakwat dari akar tumbuhan. 

Jelaga atau butiran-butiran halus seperti arang yang terjadi dari asap lampu minyak tanah yang digunakan pada zaman dahulu juga digunakan sebagai dakwat. Seorang Undang Johol telah menggunakan lampu minyak tanah dan mengasapi cap mohor beliau bagi menghasilkan jelaga sebelum mengecap dokumen rasmi dalam satu majlis pada tahun 1948. 

Kertas

Satu lagi bahan asas yang penting yang diperlukan untuk menulis adalah kertas. Kertas dalam alam penulisan manuskrip Melayu bukanlah kertas yang boleh didapati pada hari ni. Kertas di alam Melayu dipanggil deluang yang diperbuat daripada lapisan kulit pokok seperti mulberi yang diketuk leper selepas lapisan dalam kulit pokok tersebut direndam sehingga lembut. Menurut dari pembacaan saya, pokok mulberi yang digunakan untuk membuat kertas deluang ini tidak mempunyai buah tetapi  daun dan batangnya sama bentuk dan sifat.  Jadi Inshaa Allah saya akan cuba proses dan membuat kertas deluang ini menggunakan pokok mulberi yang ada pada zaman ini. 

Pokok Mulberry

Kertas ini mempunyai tekstur dan tahan lama. Selain daripada kertas deluang, bahan lain untuk menulis ialah seperti kayu, daun nipah dan daun lontar. Permukaan setiap bahan yang digunakan untuk menulis menggunakan dakwat dan pen perlulah licin dan tidak terlalu kesat kerana ia akan mengganggu penulisan dan tulisan yang dihasilkan tidak jelas dan sukar untuk dibaca. 

Selain dari kertas deluang, kertas yang diimport  dari negara luar terutamanya dari Barat seperti Belanda, Perancis dan England. Kertas-kertas import ini kebanyakannya ditanda dengan cap perniagaan tersendiri yang dikenali sebagai tera air. 


Proses Pembuatan Deluang

Untuk membuat deluang, batang pohon mulberi dikuliti , dicuci dan dikeringkan. Setelah kering,  batang tersebut direndam selama 24 jam. Kemudian batang tersebut dipukul dan dibolak balikkan sehingga lebarnya mencapai 2-3x lebar, lalu dicelupkan ke dalam air beberapa saat, dan diperah airnya.  Kemudian deluang dilipat untuk mendapatkan hasil yang lebih lebar. 

Deluang tersebut kemudiannya dibungkus di dalam daun pisang selama 5-8 hari sehingga ia berlendir. Keluarkan deluang tadi dan dijemurkan pada batang pisang. Batang pisang digunakan supaya kulit deluang tersebut memiliki tekstur yang licin. Kemudian deluang tersebut diikat dengan serat batang pisang agar ia tidah jatuh setelah ia menjadi kering. Setelah kering, deluang digosok dengan kulit kerang untuk mendapatkan tekstur halus pada permukaannya. 

Dari segi pembuatannya, deluang memiliki beberapa kelebihan berbanding kertas biasa. Deluang yang dibuat secara tradisional adalah lebih tahan lama kerana proses pembuatannya tanpa bahan kimia sintesis. 

Selain daripada digunakan untuk dijadikan kertas untuk manuskrip sejak ratusan tahun dulu, deluang juga digunakan untuk membuat pakaian terutamanya dipakai oleh ahli sufi. Bahan dari kertas deluang ini mampu bertahan hingga ratusan tahun dan ia terbukti dari buku-buku manuskrip Melayu lama yang masih kekal dan dapat kita lihat hingga ke hari ini. 

Kertas Deluang

Kitab Hikayat Hang Tuah koleksi peribadi arwah abah yang ditulis pada 
tahun 1908 dan pertama kali dicetak pada tahun 1949













           



Rabu, 21 September 2022

MASJID OLAK SEPAM, PAGOH MUAR JOHOR 1931

 Ketika pulang ke kampung sempena cuti Hari Malaysia 2022, kali ini saya berazam menziarah masjid-masjid lama, rumah-rumah lama dan tempat bersejarah di Muar. Walau pun kampung saya di Muar        (sebelah ayah) saya belum pernah lagi menjejak tempat-tempat sejarah di Muar padahal Muar adalah salah satu tempat yang kaya dengan sejarah. 

Pada hari Sabtu,  saya bergerak ke Parit Bugis melihat rumah Keraton Mbah Anang untuk kali kedua kerana ingin mengajak mak dan abang saya sekeluarga melihat keunikan rumah Mbah walau saya telah pergi sendiri sehari sebelumnya.

Dari rumah Mbah Anang kami bergerak ke Pagoh. Disebabkan masa telah agak lewat, kami terus bergerak ke masjid tanpa sempat ke Masjid Jamek Kampung Raja, Galeri Bukit Kepong dan Makam Sultan Alauddin Riayat Syah I. 

Setibanya di Masjid Olak Sepam mengikut google map, ia bukanlah masjid lama yang ingin saya tuju tetapi ia adalah masjid baru Olak Sepam. Saya bertanya penduduk kampung dan mereka dengan baik hatinya membawa kami ke masjid tersebut. 

Masjid Olak Sepam Sept 2022

Sejarah Masjid 

Masjid ini telah dibina semula pada tahun  1931 di atas tapak masjid yang asal . Tidak dapat dipastikan sejak tahun bilakah tapak masjid yang asal telah wujud. Jika dikaji sejarah, Pagoh telah wujud sejak zaman Kesultanan Melaka lagi . Ia dikenali sebagai Kota Pagoh. 

Kedudukan masjid ini terletak betul-betul di pinggiran sungai Muar.  Kemungkinan besar masjid yang asal adalah sebuah masjid kayu yang telah musnah ditelan zaman dan juga kawasan tersebut sering dilanda banjir kerana kedudukannya yang berhadapan dengan sungai menyebabkan bencana alam sering melanda di kawasan ini.  



Pada  tahun 1961 iaitu 30 tahun kemudian,  ia telah dibesarkan dengan menggunakan batu bata dan dibina bumbung genting 'Marsille' menjadikan masjid ini mempunyai senibina dan keunikannya yang tersendiri iaitu kombinasi tempatan dan barat. 

Malangnya banjir besar 1971 yang berlaku di seluruh Malaysia kecuali 3 negeri di utara, turut menenggelamkan hingga ke ruang solat masjid ini. 

Gambar sebenar sewaktu kejadian banjir pada tahun 1971 di Balai Polis Bukit Kepong.
Koleksi gambar banjir seluruh Malaysia 1971 sewaktu ayahanda bertugas.

Oleh itu masjid yang baru telah dibina di kawasan yang lebih tinggi dan selamat tidak jauh dari masjid lama ini. Sejak itu masjid lama ini dibiarkan kosong dan usang hingga telah hampir musnah. 

Tetapi oleh kerana struktur binaan dan bentuknya yang unik  serta  sejarahnya yang tidak ternilai, atas usaha  penduduk kampung, Jabatan Muzium dan Antikuiti (JMA) telah melakukan kerja-kerja konservasi dengan mengekalkan bentuk asal masjid dan siap sepenuhnya pada 12 APRIL 2003 dan menjadikan ia warisan sejarah negeri Johor.  

Masjid ini telah dirasmikan oleh Y.B Dato Abd Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor pada 14 Syaaban 1424 bersamaan 14 Oktober 2003

Masjid Baru Kampung Olak Sepam 2022

Menurut penduduk kampung, walau Masjid Lama Olak Sepam tidak lagi digunakan oleh penduduk kampung untuk mengerjakan solat tetapi mereka masih tetap menjaga kebersihan dan kelestarian masjid ini. Menurut mereka juga, masjid ini masih lagi dikunjungi oleh kumpulan jemaah tabligh dua kali setahun sehingga kini bagi mengimarahkan masjid lama ini.  Sewaktu kunjungan saya pada minggu lepas, masjid ini kelihatannya terjaga dan bersih walau tidak digunakan lagi. 

Oleh kerana telah masuk waktu maghrib dari situ kami terus ke masjid baru Olak Sepam untuk menunaikan solat maghrib sebelum pulang ke rumah dan makan malam di Warong Olak Sepam. 



Kubah Masjid 
         
           
           Tingkap untuk pencahayaan dari ruang mihrab

           
Pandangan dari belakang masjid

           
Tangga besi untuk ke bumbung masjid
(Bagi sesiapa yang naik ke atas jangan lupa tutup semula pintu
atap ke bumbung bagi mengelakkan air masuk ke dalam ruang solat)

           
         Pintu masuk masjid di sebelah belakang 

          
            Bumbung masjid 

          
Kubah kecil




















Rabu, 14 September 2022

MASJID KAMPUNG TERSAN, RAUB PAHANG, KAMPUNG YG DIBUKA OLEH KETURUNAN LAKSAMANA HANG TUAH 1680M

Dalam perjalanan saya ke Kota Bharu, saya ternampak sebuah masjid kayu menghala ke Kuala Lipis betul-betul di belakang papan tanda Kampung Tersan.  Disebabkan saya amat suka mengkaji tentang masjid-masjid lama maka saya pun mengambil keputusan untuk memusing kereta semula. Masjid tersebut adalah Masjid Kampung Tersan  terletak di Mukim Sega, daerah Raub, Pahang. Ia terletak di laluan jalan utama ke Kota Bharu-Gua Musang. 
Masjid Tersan 2022

Bertemunya Kampung Tersan

Pada awal bulan August 2022  yang lalu, saya pulang ke Kota Bharu bersama anak sedara menaiki kereta kerana menemannya yang yang perlu hadir ke hospital di sana. Perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui Raub-Kuala Lipis-Merapoh-Gua Musang-KB. Seperti biasa anak sedara saya dah faham sangat perangai mak sedaranya yang sangat suka menjejak sejarah, bangunan dan rumah lama serta masjid-masjid lama. Saya mesti akan membuat pit stop di mana-mana tempat yang saya lihat mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Kira impromtu pit stop la. Anak sedara juga meminati sejarah, jadi lagilah seronok perjalanan kami ini. 

Saya juga adalah keturunan separuh Johor separuh Kelantan dari mak. Jadi balik ke Kota Bharu adalah seperti balik ke kampung sendiri walau mek(nenek) saya telah meninggal dunia. Tapi makcik makcik masih ada di Kota Bharu dan saya dari lahir di bela oleh mek di Kota Bharu, jadi saya agak rapat dengan makcik-makcik saya.

Setelah mengambil gambar  bangunan lama di Pekan Raub, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dan tiba-tiba saya ternampak sebuah masjid kayu seakan masjid lama di sebelah kanan. Saya pusing semula dan terus ke arah masjid. Walaupun kelihatan sederhana berbanding dengan masjid lama lain yang ada seni ukiran, pasak dan tanggam tetapi saya tertarik dengan bumbung dan dinding kayunya. Masjid ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Bak kata pepatah, Jauhari sahaja yang mengenal manikam...cewah hehehe.

Dalam pemikiran saya mesti ia sebuah masjid lama  zaman dahulu-kala. Ketika itu tidak ada jemaah di masjid memandangkan belum lagi masuk waktu Zohor.

Masjid Tersan 1942, kredit Tn Hasanuddin Mat Isa

Saya  mengambil gambar dan membaca batu penanda perasmian masjid. Tertulis Masjid Tersan ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muazzam Syah pada hari Khamis 26 Safar 1415 bersamaan 4 Ogos 1994. 

Aik, 1994? Firasat dalam hati kata, tak mungkin. Mesti  masjid ni lagi lama dari itu. I don't believe it. There's something about this masjid yang menguatkan firasat saya mengatakan ia adalah masjid tua. 
 




Kemudian  saya lihat ada kawasan perkuburan di sebelah masjid, terus saya melangkah ke sana. Walau tidak memasuki ke kawasan perkuburan, tapi saya berdiri di tepi pagar sambil memerhati nisan-nisan di kawasan kubur tersebut hinggalah saya ternampak satu batu nisan di bawah pokok yang lain dari yang lain. Kelihatan batu nisan tersebut sepertinya batu nisan di zaman lama. Sah!! Kan betul kata saya. Memang masjid ni mesti masjid pada zaman dahulu sekurang-kurangnya awal kurun ke 19 dalam pemikiran saya. 

Tidak lama kemudian jemaah mula datang kerana waktu menghampiri waktu Zohor. Saya sempat bertanya kepada jemaah masjid tetapi pakcik tersebut tidak berapa tahu sejarah masjid ini tapi katanya memang masjid lama. Setelah itu saya meneruskan perjalanan yang masih jauh. 

Lalu saya buat research sendiri,baca beberapa blog dan fb' akhirnya memang betul kampung ini tidak kurang hebat sejarahnya dan ia dibuka oleh seorang ulama Islam pada zaman dahulu dari keturunan Hang Tuah.  

Ruang solat Masjid Tersan 2022

Salasilah Keturunan Tok Imam Mat Amin Bin Tok Malik 

Kampung Tersan dibuka oleh Tok Imam Mat Amin sekitar tahun 1680M. Nama penuh beliau adalah  Tok Imam Mat Amin Bin Tok Malik Bin Ngah Endik Bin Muhamad Ali Jaafar Bin Raja Muhamad (Baginda Demu)

Baginda Demu atau Raja Muhammad merupakan seorang pembesar di negeri Perak, cucu Laksamana Hang Tuah.   Ayahanda Baginda Demu iaitu Raja Mahmud atau dikenali juga sebagai Raja Yusof atau Raja Bongsu berkahwin dengan salah seorang anak Laksamana Hang Tuah, Sri Dewi atau Halimah. 

Baginda Demu dikatakan datang berhijrah ke Hulu Pahang mengikut jejak langkah bapa saudaranya Hang Semaun yang telah terlebih dahulu membuka kawasan-kawasan lain sekitar Kuala Lipis. Bapa saudaranya kemudiannya dilantik oleh Pemerintah Pahang sebagai Orang Kaya Lipis Pertama.  
Baginda Demu pula telah membuka penempatan pertama di Lubok Yong, Kuala Lipis, kemudian mudik ke hulu dan membuka Kampung Pagar, Penjom Kuala Lipis pula.

Rumah atas sampan di Sungai Pahang Kuala Lipis 1890

 
Sejarah disebalik nama Kampung Tersan

Tok Mat Amin dan anak buahnya menyusur mudik Sungai Lipis dari Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Pahang. Beliau berhenti di suatu tanah pamah sebelah kiri mudik yang penuh ditumbuhi oleh perdu buluh aur, lalu membuka kampung di situ dan dinamakan Kampung Tanjung Aur

Ke arah daratan Sungai Lipis yang ditumbuhi buloh aur itu didapati pamah dan lembah, amat sesuai dijadikan sawah atau paya padi. Lalu Tok Mat Amin bersama-sama dengan anak buahnya membersihkan kawasan itu untuk dijadikan kawasan sawah padi. 

Terdapat tanah masin yang digelar jenud iaitu tempat binatang datang menjilat di situ. Tanah masin tersebut boleh menyuburkan semua jenis tanaman termasuk padi. Ke darat lagi, terdapat dua alur air yang kemudiannya dinamakan Sungai Buloh dan Sungai Ketiar. 

Kedua-dua alur itu disatukan menjadi parit besar seperti terusan terus ke Sungai Lipis. Terusan itulah yang membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah kampung lagi yang dinamakan Kampung Tersan

Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, Tersan bermaksud dalam. Jadi ia mungkin sebuah terusan yang dalam. 

                                                                                             Kredit sejarah Kg Tersan : Tn Hasanuddin Mat Isa, blog piathangtuah
                                                                                                                                                                         
Pada pendapat saya, Masjid Kampung Tersan ini sebenarnya telah wujud sejak sekian lama lagi.
Atau mungkin juga masjid ini dahulu terletak di tempat lain.   Mungkin sejak zaman dahulu ketika Tok Mat Amin masih lagi hidup kerana beliau juga adalah seorang imam, penghulu dan juga pawang. 

Cuma pastinya bangunan masjid yang asal telah dirobohkan serta diganti dari masa ke semasa mengikut peredaran zaman  kerana masjid pada zaman dahulu selalunya dibina daripada batang pinang, kayu dan beratap rumbia atau nipah. 
Jadi tapak masjid ini kemungkinan besar adalah tapak masjid sejak tahun 1680M setelah pembukaan Kampung Tersan ini .  ( Mungkin orang Kampung Tersan boleh membetulkan pandangan saya ini jika salah dan saya memohon maaf )

Orang dahulu amat mengambil berat tempat beribadat. Masjid adalah salah satu binaan yang paling penting yang akan dibina pada satu-satu penempatan awal pada zaman dahulu. Lagi pula Tok Mat Amin adalah seorang imam dan penghulu, maka masjid sudah tentunya mesti ada.

Di sebelah masjid ini juga terletaknya kubur Tok Mat Amin di atas bukit . Dikatakan orang ramai selalu pergi menziarah kuburnya kerana dia adalah seorang ulama Islam yang masyur dan dihormati pada zaman dahulu. Sayangnya saya tidak sempat untuk menziarah ke kubur beliau kerana kesuntukan waktu.

Disclaimer : 
Saya memohon maaf kepada penduduk Kampung Tersan jika ada kesalahan informasi dan andaian yang salah. Ia adalah berdasarkan pandangan saya semata-mata. 





       
            






 





MASJID BERSEJARAH TERBIAR SEPI

Masjid-masjid tidak kira yang baru ataupun lama tidak hanya menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi saksi bisu sejarah dan budaya serta t...